USIM Majukan Wakaf Pendidikan


WAKAF adalah satu institusi sosial yang mapan dalam Islam. Satu amalan yang diinspirasikan daripada al-Quran dan hadis Rasulullah SAW itu merupakan satu instrumen agihan semula kekayaan untuk memberi lebih banyak memberi manfaat kepada orang lain.

Allah SWT sangat menggalakkan agar setiap pemberian yang ingin kita sumbangkan itu adalah harta yang paling kita sayangi sebagaimana maksud ayat dalam Surah Ali Imran: 29: “Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan (al-birr) yang sebenarnya sehingga kamu belanjakan sebahagian daripada harta yang paling kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui".

Malah Allah SWT turut menggambarkan gandaan pahala orang yang suka memberi sumbangan kebajikan termasuklah wakaf dalam Surah al-Baqarah ayat 261 bermaksud: “Perumpamaan orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, adalah seperti sebutir benih yang tumbuh menjadi tujuh tangkai, yang setiap tangkainya terdiri dari seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi yang Ia kehendaki. Allah Maha Luas rahmatNya lagi Maha Mengetahui".

Dalam hadis dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika seseorang anak Adam meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang senantiasa mendoakannya."

Institusi wakaf mempunyai potensi yang besar untuk menyokong pembangunan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia. Contoh terbaik adalah Universiti Al-Azhar di Mesir, salah sebuah universiti tertua didunia dan tersohor.

Universiti yang dibangunkan berasaskan biaya harta wakaf menyediakan peluang pendidikan secara percuma kepada pelajar Islam dari seluruh pelosok dunia. Ramai para ulama dan cendikiawan Malaysia telah menerima pendidikan mereka dari universiti tersohor ini.

Pembiayaan universiti melalui sumber wakaf sepenuhnya itu membawa beberapa kebaikan, antaranya tidak bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan dan juga memiliki kebebasan dalam pembangunan ilmu dan intelektual.

Di Malaysia, peranan wakaf dalam penyediaan pendidikan telah lama bertapak tetapi lebih tertumpu kepada pendidikan peringkat rendah dan menengah.

Manakala usaha untuk membangunkan dana wakaf telah dilakukan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Dana Wakaf Ilmu (yang ditubuhkan pada 2011) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula dengan Tabung Pemberian Islam.

Masing-masing telah mendapatkan persetujuan daripada Majlis Agama Islam Selangor dan baru-baru ini dilaporkan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah mewakafkan 100 ekar tanah untuk kampus Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

Sejajar dengan keperluan amalan berwakaf, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berpandukan visinya telah mengambil inisiatif untuk mengetengahkan kaedah wakaf dalam aspek pembiayaan pembangunan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Islam.

Hasrat ini dinyatakan secara jelas oleh Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail dalam amanat tahun barunya pada 6 Februari tahun lalu bahawa dalam aspek penjanaan pendapatan, universiti bukan hanya ingin melihat tetapi juga menggerakkan Pembiayaan Wakaf.

“Tata cara menguruskannya perlu lebih dinamik dan mungkin boleh dikupas oleh pakar di USIM untuk mewujudkan universiti hybrid yang dibiayai 70 peratus oleh Kerajaan dan 30 peratus secara wakaf," katanya.

Idea mewujudkan universiti hybrid yang ingin dilaksanakan USIM itu adalah gabungan konsep enterprise sosial, pematuhan syariah dan pembiayaan wakaf.

Antara fokusnya adalah menyediakan peluang pembiayaan wakaf bagi perolehan peralatan perubatan untuk Hospital Pengajar USIM yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Tiga konsep utama tersebut direalisasikan berasaskan gabungan antara USIM sebagai sebuah Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat (Negeri Sembilan) dan Malaysia secara umumnya.

Sebagai permulaan, Klinik Pakar Kesihatan USIM akan dibina dengan bantuan dana sebanyak RM2 juta daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan memorandum persefahaman kerjasama itu telah ditandatangani pada bulan Januari lalu.

Klinik itu akan menyediakan khidmat dalam bidang kesihatan dan pergigian. Doktor-doktor pakar yang terlibat adalah daripada tenaga akademik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian USIM.

Selain itu, Klinik Hemodialisis USIM-MAINS dengan kos permulaan RM1.5 juta juga akan dibina tidak lama lagi dengan kos keseluruhannya ditaja MAINS.

Perlaksanaan projek itu akan dilakukan oleh Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan sebagai mutawalli sebelum diserahkan kepada USIM untuk tujuan operasi.

Klinik itu berperanan memberikan perkhidmatan percuma kepada golongan asnaf yang terlibat dengan bantuan zakat. Malah jaringan kerjasama itu lebih bermakna lagi apabila USIM dilantik sebagai mutawalli oleh MAINS pada bulan Julai tahun lalu.

Kerjasama itu mampu memberi kesan positif kepada pembangunan ekonomi masyarakat sekitar, negara dan ummah secara global dalam menjamin kelangsungan dan kelestarian ekonomi untuk generasi Muslim pada masa akan datang.

Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 05hb Mac 2014.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment