Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan Membanggakan



Secara amnya, ekonomi Negeri Sembilan sebelum ini dipacu oleh industri berasaskan pertanian iaitu merangkumi pembukaan ladang getah dan kelapa sawit, kawasan ternakan haiwan, dusun buah-buahan dan tanaman sayur-sayuran. Lebih kurang 309,850 hektar tanah digunakan bagi tujuan tersebut.  

Namun kini, Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan Datuk Seri Mohamad Hasan telah berjaya membawa perubahan besar dalam struktur ekonomi Negeri Sembilan dengan pembangunan beberapa kawasan perindustrian utama seperti di Senawang, Sungai Gadut, Taman Industri Tuanku Jaafar, Nilai dan Tanah Merah di Port Dickson. Pembangunan yang dijalankan secara konsisten ini dilihat akan menjadi penyumbang ekonomi utama negeri pada masa akan datang.

Kerajaan Negeri telah menetapkan sasaran jumlah pelaburan tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM1 bilion setahun. Namun, pada tahun 2011 dan 2012 sahaja, jumlah pelaburan yang diluluskan jauh melepasi sasaran iaitu masing-masing RM5.9 bilion dan RM2.73 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Prestasi pelaksanaan projek pembangunan juga mencapai tahap 98 peratus dan menjadi salah satu daripada dua negeri yang memiliki prestasi pelaksanaan projek pembangunan melebihi peratusan berkenaan. Hal ini merupakan satu situasi yang amat positif dalam usaha membawa Negeri Sembilan setapak kehadapan.

Industri perkilangan seperti penghasilan barangan elektrik, kain, perabot, bahan kimia, mesin, serta barangan besi dan getah telah melonjak naik menjadi nadi penggerak utama memacu ekonomi negeri ini. Pada tahun 2012 sahaja, pelaburan asing dan tempatan dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan ini telah meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM24.63 bilion atau mewakili 88.9 peratus.

Pada masa sama, demi memastikan keselesaan rakyat di negeri ini dan kepentingan masyarakat untuk memperolehi kediaman yang lebih selesa, Kerajaan Negeri melalui pemaju-pemaju perumahan juga berusaha membina lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti bagi menyokong usaha pembangunan ekonomi mapan yang sedang dilakukan kerajaan negeri.

Kadar pengangguran pula menunjukkan prestasi yang baik iaitu hanya sebanyak 3 peratus sahaja berbanding kadar pengangguran yang dilaporkan pada tahun sebelum ini iaitu 3.2 peratus. Secara perbandingan pencapaian ini lebih baik daripada sebahagian negara-negara maju.

Prestasi kewangan negeri yang mengutamakan pengurusan berhemah sehingga berjaya meningkatkan hasil setiap tahun dan meningkatkan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM347.47 juta sehingga Disember lalu juga dapat dibanggakan. Pencapaian yang memberansangkan ini telah meletakkan Negeri Sembilan di landasan yang betul untuk mencapai status negeri maju pada tahun 2020.

Selain daripada itu, industri pelancongan juga sedikit sebanyak berjaya membantu peningkatan ekonomi negeri. Jumlah kedatangan pelancong sejak kebelakangan ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu 4.1 juta pada tahun 2012 berbanding 2.4 juta pada tahun sebelumnya.

Sektor perindustrian dengan sokongan daripada sektor pertanian dan pelancongan mampu membawa ekonomi Negeri Sembilan ke tahap yang lebih tinggi. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri juga dilihat sangat menekankan perkara ini lantas mampu membawa Negeri Sembilan merealisasikan cita-cita mencapai status negeri maju menjelang seawal 2018.



Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment