Kerajaan NS Bentang Belanjawan

SEREMBAN - Kerajaan negeri hari ini membentangkan belanjawan lebihan bagi tahun 2015, yang berjumlah RM364.931 juta iaitu pertambahan sebanyak 3.5 peratus berbanding belanjawan tahun 2014.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan berkata, jumlah tersebut merangkumi RM19.918 juta bagi maksud tanggungan dan RM345.013 juta bagi maksud bekalan.

“Anggaran belanjawan itu dijangka mencukupi untuk menampung kesemua per­belanjaan mengurus yang dirancang bagi tahun berkenaan (2015),” katanya sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Sembilan Tahun 2015 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan kutipan hasil pada tahun hadapan akan meningkat kepada RM367.309 juta berbanding RM356.34 juta yang direkodkan sehingga 3 Disember yang lalu.

“Peningkatan jumlah kutipan hasil tersebut dijangka akan membolehkan belanjawan kerajaan negeri mencatatkan lebihan sebanyak RM2.378 juta pada tahun 2015".

“Jangkaan ini dibuat berasaskan kepada prestasi kutipan hasil pada setiap tahun dan jumlah kutipan hasil dalam tahun 2013 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.96 peratus kepada RM354.78 juta berbanding RM341.27 juta pada tahun 2012,” katanya lagi.

Tambah Mohamad (BN-Rantau), prestasi kutipan hasil dalam tahun 2014 pula setakat ini menunjukkan pencapaian yang sangat baik apabila telah melebihi jumlah anggaran yang disasarkan iaitu RM352.63 juta.

“Sehingga 3 Disember lalu (kelmarin), kerajaan negeri telah pun berjaya mengutip sebanyak RM356.34 juta iaitu 1.05 peratus melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Katanya lagi, belanjawan 2015 kerajaan negeri itu bertemakan ‘Memakmurkan negeri, mensejahterakan rakyat’ dengan menggariskan lima strategi utama iaitu, mensejahterakan rakyat; mengga­lakkan pembangunan ekonomi dan memperkukuhkan pembangunan modal insan.

Turut digariskan kata Mohamad, adalah menganjakkan pendekatan jentera kerajaan daripada memberikan perkhidmatan kepada menawarkan perkhidmatan dan yang akhir adalah mempertingkat kemudah capaian kepada prasarana dan kemudahan awam.

Dalam pembentangan belanjawan kerajaan negeri itu, Mohamad turut mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk mengkaji kadar saraan semasa Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) yang akan dibentangkan dalam sidang dewan kali ini.

“Kerajaan negeri turut menghargai sumbangan berterusan penjawat awam dalam melaksanakan dasar kerajaan dan oleh itu, kerajaan bersetuju meluluskan bayaran bonus setengah bulan gaji tahun 2014 atau minimum RM500 yang akan dibayar pada 2 Januari 2015,” jelasnya.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment