Pembinaan Jalan Baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek, Mula Kerja MVV Dilancarkan



NILAI – Pembinaan jalan baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek telah dilancarkan pada 20 Mac 2018 oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di Dewan Komuniti Batang Benar, Nilai.
Dalam majlis sama, Menteri Besar turut melancarkan mula kerja Malaysia Vision Valley (MVV) meliputi Nilai hingga Port Dickson.
Projek membina jalan baharu ini adalah salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang diluluskan dengan kos keseluruhan RM415 juta.
Jajaran jalan raya sejauh 16.3 kilometer menghubungkan Nilai, Labu dan Bandar Enstek dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dibina secara lebih efisien di samping melonjakkan pembangunan di kawasan sekitar jajaran berkenaan.
Jalan baharu ini juga akan menjadi laluan utama ke kawasan nadi projek (heartbeat projects) MVV dan akses ke cadangan Terminal Pengangkutan Bersepadu Labu yang akan menempatkan stesen kereta api berkelajuan tinggi.
Antara skop kerja bagi projek ini ialah membina jalan baharu sepanjang 16.82 km sebanyak empat lorong dua hala dengan Piawaian R5, membina tiga persimpangan utama, enam buah jambatan dan lapan buah Vehicular Box Culvert.
Antara lain, terdapat pembinaan tembok penahan bagi tiga jalan tuju jambatan, kerja-kerja cerun, pengalihan utiliti, pemasangan lampu jalan dan lampu isyarat serta kerja-kerja tanah dan pengambilan tanah.
Jaringan jalan raya baharu ini secara tidak langsung akan menjadi alternatif terhadap sistem penyuraian trafik di daerah Seremban dan Nilai selain dapat menyokong meningkatkan pembangunan di sepanjang koridor MVV.

Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment