N.Sembilan Segerakan Fasa Pertama Dasar Perluasan Kampung


KERAJAAN Negeri Sembilan akan menyegerakan pelaksanaan fasa pertama Dasar Perluasan Kampung yang dirangka dalam Dasar Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan (DPLB) melibatkan lima daerah iaitu Jelebu, Rembau, Tampin, Kuala Pilah dan Jempol.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan berkata, fasa pertama Dasar Perluasan Kampung yang bakal dilaksanakan ini akan mengutamakan peningkatan infrastruktur, pengangkutan awam dan yang penting sekali ialah pembinaan penempatan baharu yang melibatkan pemberian tanah-tanah kerajaan yang akan dipecah-pecahkan lot dengan saiz satu lot antara 4,000-6,000 kaki persegi.
Menurut beliau lagi, saiz tanah yang diberikan itu amat sesuai untuk didirikan rumah dengan sedikit kawasan halaman dan akan mewujudkan penempatan baharu iaitu kampung tersusun yang dilengkapi dengan infrastruktur seperti jalan raya dan dewan orang ramai.
Katanya, pemohon perlu melepasi syarat yang diberikan iaitu mestilah terdiri daripada kategori miskin dan berdaftar dengan e-kasih di Pejabat Tanah, sudah berkahwin, mereka yang tidak mempunyai tanah dan belum mempunyai rumah. Keutamaan akan diberikan kepada penduduk yang tinggal di kampung berkenaan.
Mereka juga akan dikenakan syarat tidak boleh menjual atau menggadai lot tanah tersebut melainkan dengan kebenaran Kerajaan Negeri. Selepas permohonan ditapis mereka yang layak akan dipilih menerusi cabutan undi.
Selepas dibahagi-bahagikan lot, mereka boleh membina rumah dengan memohon Skim Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk membina Rumah Bina Negara, Rumah Mesra Rakyat dan lain-lain lagi.
Kata Menteri Besar lagi, banyak isu berbangkit berhubung perkara ini misalnya, generasi muda yang berhijrah ke bandar tidak mempunyai mata pencarian yang tetap. Apabila berpindah mereka tidak mampu membeli rumah dan terpaksa menyewa sedangkan sewa rumah semakin tinggi disebabkan banyak permintaan.
Selain itu jelasnya, apabila orang muda berhijrah ke bandar, maka tidak ada lagi orang muda yang tinggal di kampung dan ibu bapa pula uzur dan tua tiada siapa yang menjaga mereka dan akhirnya kampung mereka akan terus tertinggal ke belakang.
“Penghijrahan mereka berlaku apabila mula berkeluarga dan tidak lagi sesuai tinggal di rumah ibu bapa mereka. Disebabkan tiada kemudahan pengangkutan awam dan tiada rumah, mereka terpaksa mencari rumah sewa, walaupun pada masa sama mereka mahu tinggal di kampung untuk menjaga ibu bapa dan menyara diri dengan melakukan kerja-kerja pertanian,” ujarnya.
Jelasnya, pelaksanaan Dasar Perluasan Kampung ini dilakukan berikutan keinginan Kerajaan Negeri yang mahu memastikan agar kawasan luar bandar tidak terus ditinggalkan generasi muda yang terpaksa berhijrah ke luar bandar.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment