TAPAK SEJARAH: Negeri Sembilan Terus Bangun dan Pulihara


NEGERI Sembilan adalah sebuah negeri bersejarah yang mempunyai lokasi tapak-tapak bersejarahnya sendiri dan memerlukan usaha-usaha pemuliharaan. Justeru itu, Kerajaan Negeri amat mengambil berat dalam menjaga dan memastikan tapak-tapak bersejarah yang menjadi warisan sejarah negeri sentiasa terjaga dan terpelihara.

Melalui institusi berkaitan iaitu Lembaga Muzium Negeri Sembilan, rancangan dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan tapak-tapak bersejarah ini dijaga dan dipelihara sebagai warisan negeri selain menjadi bahan tatapan sejarah untuk pembelajaran dan tatapan masyarakat dalam dan luar negara.

Abdul Razak Ab Said 
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abdul Razak Ab Said berkata, antara perancangan dan usaha yang dilaksanakan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan bagi menjaga kelestarian tapak-tapak bersejarah ini adalah seperti berikut:

1. Menginventori dan merekodkan setiap jumpaan bersejarah yang ada di seluruh daerah di Negeri Sembilan.
2. Menyenaraikan tapak-tapak bersejarah ini untuk diangkat oleh Jabatan Warisan Negara sebagai tapak Warisan Negeri dan Warisan Kebangsaan.
3. Memelihara dan menyelenggara tapak-tapak bersejarah tersebut mengikut keutamaan.
4. Menjadikan tapak-tapak bersejarah tersebut sebagai produk pelancongan di Negeri Sembilan.
5. Menghebahkan berkenaan tapak-tapak bersejarah ini di dalam media akhbar dan elektronik  bagi tujuan pembelajaran dan tarikan kepada pengunjung dan pelancong dalam dan luar negara.
6. Menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada di sektor kerajaan, swasta, NGO dan lain-lain dalam memastikan keutamaan diberi kepada warisan ini sebelum sesuatu satu-satu pembangunan itu dijalankan.

Semoga usaha-usaha pembangunan tersebut dapat memulihara dan memelihara khazanah warisan negeri dan dalam masa sama dapat membantu memacu ekonomi rakyat di negeri ini secara khususnya dan negara amnya.

258 Tapak Bersejarah Diiktiraf

Negeri Sembilan mempunyai banyak tinggalan sejarah silam semenjak abad ke-12 lagi. Bermula dengan penghijrahan masyarakat Minangkabau di Rembau hinggalah kepada era pemerintahan British. Mengikut data yang disimpan oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan sehingga 2014, terdapat sejumlah 258 tapak bersejarah dari seluruh Negeri Sembilan yang merangkumi rumah tradisional, bangunan lama dan kolonial, makam, monumen, masjid dan tapak tanah bersejarah dengan 13 daripadanya telah diiktiraf sebagai Warisan dan Warisan Kebangsaan.

Pecahan tapak-tapak bersejarah ini dibahagikan mengikut daerah iaitu Seremban (33 tapak), Kuala Pilah (65 tapak), Jempol (13 tapak), Tampin (16 tapak), Rembau (60 tapak), Jelebu (36 tapak), Port Dickson (13 tapak) dan Gemas (3 tapak).

Daripada keseluruhan tapak bersejarah ini, 13 daripadanya telah diiktiraf di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 sebagai Warisan Negeri dan Warisan Kebangsaan. Senarai tapak-tapak warisan dalam Senarai Warisan Kebangsaan iaitu Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah dan Takhta Rencana di Muzium DiRaja Seri Menanti, Kuala Pilah.

Manakala Senarai Warisan pula adalah bekas bangunan Kompleks Kraf Negeri Sembilan di Jalan Dato’ Abdul Kadir, Seremban, bangunan lama Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri di Jalan Dato’ Abdul Kadir, Seremban, batu-batu hidup (Nisan Tinggi) di Tampin,  Keramat Sungai Udang, Port Dickson dan Kota Lukut, Port Dickson.

Selain itu, makam Moyang Salleh Kuala Klawang, Jelebu, Masjid Jamek di Jalan Dato’ Bandar Tunggal, Seremban, model rumah Melayu Negeri Sembilan di Kompleks Taman Seni Budaya, Muzium Negeri Seremban, Sekolah Menengah King George V di Jalan Dato’ AS Dawood, Seremban, Sekolah Rendah Kebangsaan Ampangan (bangunan blok lama) di Jalan Kuala Pilah, Seremban dan Istana Lama Ampang Tinggi, Kompleks Taman Seni Seni Budaya, Muzium Negeri, Seremban.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment