KPKT Sasar Pembinaan 102,511 Unit Rumah PPR




Oleh SALAWATI HARIS 

DALAM memastikan aspek pembangunan perumahan terus menjadi agenda utama selari dengan agenda sosial nasional kerajaan demi menjamin kesejahteraan rakyat ke arah mewujudkan masyarakat maju dan berdaya saing, Kerajaan Persekutuan juga melalui Dasar Perumahan Negara pastinya memandu dan menyelaraskan perancangan serta pembangunan sektor perumahan ke tahap yang lebih efisien dan sistematik. Ini secara langsung dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara serta mewujudkan sektor perumahan yang mampan.


Menurut Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan, KPKT telah mensasarkan keseluruhan pembinaan sebanyak 102,511 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat di seluruh negara.


Sehingga September 2015, sebanyak 76,211 unit telah siap dibina manakala bakinya sebanyak 26,300 unit masih dalam pelbagai peringkat perancangan dan pelaksanaan.


Secara keseluruhannya sepanjang tempoh RMKe-9, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sebanyak RM2.517 bilion bagi melaksanakan projek Program Perumahan Rakyat manakala di bawah RMKe-10 pula, sebanyak RM3.077 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi pembangunan Projek Perumahan Rakyat di seluruh negara sehingga tahun 2015.


Tunai Janji Semasa Pilihanraya Menerusi PPR


Pada ketika ini di Negeri Sembilan, Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan dua projek PPR melibatkan sebanyak 570 unit rumah PPR. Ini termasuklah 150 unit di Taman Siliau Jaya ini dan 420 unit di PPR Senawang. Majlis Penyerahan Kunci Projek PPR Taman Siliau Jaya, Port Dickson telah diadakan pada 13 Oktober lalu.


Projek PPR Taman Siliau Jaya ini dibina di atas tanah seluas 15 ekar dengan kos projek bernilai RM17.6 juta merangkumi 150 unit rumah teres satu tingkat.


Pelaksanaan projek ini adalah janji dan komitmen kerajaan kepada rakyat semasa Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang pada Oktober 2009 yang lalu. Projek ini bertujuan menyediakan sebuah penempatan semula kepada golongan yang berpendapatan rendah serta golongan setinggan yang masih tinggal di kawasan ladang atau estet untuk memiliki sebuah rumah.


Ramai juga yang tidak tahu bahawa jumlah seunit rumah yang dibeli oleh penghuni yang layak hanyalah pada kadar RM35 ribu. Dilengkapi pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur termasuklah tempat letak kereta, dewan serbaguna, surau, tadika, taman permainan dan kawasan rekreasi.


Sebuah masyarakat dan komuniti yang baik perlu lebih bertanggungjawab, memiliki etika, progresif dan kesedaran tinggi dalam memastikan kelangsungan kehidupan serta kelestarian persekitaran alam sekitar.


Menyedari hakikat dan keperluan rakyat memiliki sebuah rumah, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara (MPN) dalam merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh dalam sektor perumahan. 

Selain memastikan langkah-langkah supaya harga rumah di negara ini terkawal, YAB Perdana Menteri juga baru-baru ini telah mengumumkan penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam (3PAN) pada bulan Ogos lalu.


Penubuhan Perbadanan Pengurusan Perumahan Awam Negara (3PAN) ini bertujuan untuk menguruskan aspek-aspek pelaksanaan dan pemantauan rumah-rumah PPR dengan lebih efisien di samping membantu Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menyelia dan menyelenggarakan rumah-rumah PPR dengan lebih sistematik. Dengan ini penghuni-penghuni PPR akan dapat menikmati suasana kehidupan yang lebih kondusif dan berkualiti.


Dalam mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) itu juga, YAB Perdana Menteri juga telah menerima cadangan KPKT untuk menentukan mekanisme pelepasan unit rumah kuota Bumiputera di negeri-negeri di sebelum ia diserahkan kepada pemaju. 

Langkah sebelum ini memberi penetapan dan pelepasan unit rumah kuota Bumiputera di bawah kuasa Kerajaan-Kerajaan Negeri dan tempoh serta syarat-syarat adalah berbeza mengikut negeri.


Isu Kuota Bumiputera


Terdapat isu unit rumah kuota Bumiputera ini antara pemaju dan pembeli. Pemaju kata sukar mendapatkan pembeli, pembeli pula kata pemaju tidak telus dalam transaksi penjualan unit rumah kuota Bumiputera ini.


Justeru, mesyuarat MPN lalu bersetuju bahawa KPKT bertindak sebagai agensi yang memantau pelepasan unit rumah kuota Bumiputera ini. Caranya ialah sekiranya pemaju gagal mendapatkan pembeli, pemaju perlu memaklumkan kepada KPKT dan Kerajaan Negeri terlebih dahulu untuk tujuan hebahan.


KPKT kemudiannya akan membuat hebahan selama tiga bulan dan sekiranya masih tidak terjual barulah pihak Kerajaan Negeri boleh memberikan pelepasan penjualan unit rumah tersebut kepada pihak pemaju kembali.


KPKT dan Kerajaan Negeri akan terus berganding bahu bagi memastikan rakyat Malaysia terutamanya penduduk di Negeri Sembilan ini terus diberikan peluang bagi memiliki sebuah rumah.


Selaras dengan kesungguhan dan komitmen yang begitu tinggi daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, KPKT telah merancang untuk membina tiga buah lagi projek PPR di Negeri Sembilan iaitu PPR Rantau, Seremban sebanyak 100 unit, PPR Ladang Tanah Merah, Port Dickson dengan jumlah 100 unit dan PPR Chembong, Rembau sebanyak 500 unit.



Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment