REMBAU - Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2015 dan Pesta Makanan Negeri Sembilan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Dataran Rembau pada 2 Ogos lalu. Program ini secara langsung memberi peluang kepada Negeri Sembilan untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini.
Ketibaan Datuk Seri Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut
Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan; Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk
Mas Ermieyati Samsudin dan Menteri Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen
Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Yang Dipertua Dewan
Undangan Negeri Sembilan,
Dato’ Dr Haji Awaludin Said.
Penganjuran majlis ini adalah
selari dengan kempen MyFest 2015 yang bermatlamat meningkatkan industri
pelancongan negara dengan sasaran ketibaan pelancong seramai 29.4 juta dan
sasaran pendapatan sebanyak RM89 bilion.
Justeru itu, penganjuran program
ini memberi kelebihan dan peluang yang lebih besar kepada Negeri Sembilan untuk
terus mempromosikan negeri ini.
Selain menikmati juadah raya,
tetamu kehormat dan pengunjung turut disajikan dengan persembahan kebudayaan
tradisional. Program
ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan
pemimpin bersama rakyat, selain daripada menikmati juadah jamuan rakyat.
Majlis bertemakan ‘Semarak Aidilfitri’
yang dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan
kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan juga bermatlamat untuk menonjolkan kekayaan
warisan seni dan budaya Malaysia dan mengetengahkan tradisi sambutan Aidilfitri
sebagai salah satu wadah pelancongan negara.
Program ini berkonsepkan bertandang ke rumah
yang menerapkan suasana raya di kampung yang menyajikan aneka kuih-muih dan
makanan tradisional masyarakat tempatan seperti 'Air Jando Pulang', Apam Johol,
Jangek (kulit lembu atau kerbau) Masak Lemak Cili Api, Sambal Tempoyak, Maman
Masak Ayam dan Sate Tulang Jelebu.
Selain pameran, demonstrasi serta persembahan
kebudayaan dan kesenian, turut diadakan persembahan artis terkenal seperti
Datuk M. Nasir, Awie, Ebby Yus, Asmidar, Ewal, Kumpulan Back2BaslXX, Ally Noor
dan Mastura.
Diversiti Membina Kekuatan Bangsa
Menteri
Besar dalam ucapannya berkata, rakyat perlu bersyukur kerana pada sambutan hari
kemerdekaan ke-59 yang bakal diraikan pada 31 Ogos ini masyarakat berbilang
kaum di negara ini dapat hidup dengan aman dan harmoni. Perkara ini turut menghairankan
masyarakat antarabangsa yang melihat bagaimana kepelbagaian etnik ini dapat duduk
bersama-sama membina sebuah negara.
“Diversiti kita
yang menjadi kekuatan kita. Diversiti untuk membina negara bangsa, bukan diversiti
yang boleh melemahkan kita,” ujar beliau yang melahirkan rasa yakin bahawa diversiti
atau kepelbagaian menjadi pemangkin kepada rakyat Malaysia dalam membina
tamadun bangsa yang berinovasi.
Sambutan Hari
Raya Aidilfitri jelas memperlihatkan bagaimana rakan-rakan beragama bukan
beragama Islam dapat sama-sama meraikan dengan rakan-rakan yang bukan beragama
Islam dan begitu juga sebaliknya iaitu pada perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali
dan Krismas.
“Teruskan
budaya rakyat Malaysia yang saling faham memahami dan hormat menghormati. Marilah
kita sama-sama menyinsing lengan supaya yang kurang kita cukupkan, yang pendek
kita panjangkan, yang koyak kita tampal dan yang tidak bersama kita samakan,”
ujarnya seraya mengajak masyarakat terus bersama-sama hidup dalam keadaan
harmoni.
Dato’ Seri Haji
Mohamad juga menasihatkan agar orang ramai tidak terpesona dengan ‘lagu dan
nyanyian’ orang-orang yang hendak meruntuhkan perpaduan, mempunyai agenda
tertentu yang hendak melihat masyarakat unik yang telahpun bersama membina negara
ini jatuh berkecai.
Beliau turut
meminta supaya Perdana Menteri meneruskan agendanya dan berjanji akan terus
bersama-sama menyokong kepimpinannya supaya rakyat akan dapat terus hidup aman
damai.
Kira-kira 15,000 pengunjung termasuk 40 delegasi media asing dari 11 negara iaitu Rusia, Jerman,
Switzerland, Taiwan, Kazakhstan, Jepun, China, Vietnam, Filipina, Thailand dan
Kemboja telah datang sejak petang untuk mengikuti program Majlis
Rumah Terbuka Malaysia tersebut.
Turut hadir memeriahkan ialah
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar.
Blogger Comment
Facebook Comment