SEREMBAN, 10 OGOS – Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak bulan Jun lalu diterima sebulat suara oleh kesemua wakil rakyat yang bersidang buat kali kedua di Dewan Undangan Negeri (DUN), Seremban, hari ini.
Perkara berkaitan dasar ini telah diperjelaskan dengan panjang lebar ketika sesi soalan lisan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan (BN-Rantau) yang menjawab soalan daripada Dato’ Haji Mohamad Razi Haji Kail (BN-Juasseh).
Beliau yang ditemuramah dalam sidang media selepas selesai Persidangan Kedua Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Yang Ke-13 menjelaskan bahawa DPNS ini adalah dasar intervensi kerajaan yang mahu melihat industri perumahan di negeri ini berada dalam keadaan tenang.
Menurutnya, “Harga rumah yang melambung tinggi adalah kekhuatiran dan kegusaran bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah. Malahan, isu ini menjadi perbualan hangat setiap orang kerana mereka tidak mampu untuk membeli rumah pada kadar tinggi. Maka, usaha Kerajaan Negeri hari ini ialah memastikan industri perumahan perlu dan wajib bina Rumah Mampu Milik.”
Kerajaan Negeri melalui DPNS telah menetapkan 50 peratus pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri ini di mana ia telah memberi galakan kepada industri perumahan agar dapat menawarkan jumlah yang banyak.
“Terpulanglah kepada industri perumahan untuk bersaing dari segi reka bentuk dan kualiti rumah yang dibina ini kelak,” tambahnya.
Kuota
Menurut Menteri Besar, DPNS yang baru diperkenalkan ini juga telah membuat satu pembaharuan di mana ia berbeza berbanding Dasar Perumahan Negara (DPN) yang mewujudkan 30 peratus milikan Bumiputera.
Namun begitu, DPNS mewujudkan 50 peratus milikan Bumiputera di mana 30 peratus sebagai rizab Bumiputera yang tidak boleh dijual. Sementara 20 peratus lagi adalah kuota anjalan yang diletakkan sebagai metomiriam antara tempoh lima ke lapan tahun dan boleh dijual selepas tempoh tersebut.
Beliau turut menjelaskan, “Sekiranya mereka membeli pada kuota anjalan 20 peratus, pembeli beroleh diskaun sebanyak lima peratus berbanding kuota Bumiputera 30 peratus, mereka beroleh diskaun sebanyak 10 peratus.
Kerajaan Negeri tidak mahu mereka terperangkap dalam keadaan mereka tidak boleh menukar hak milik di masa akan datang.
Selain itu, Kerajaan Negeri mahu melihat industri perumahan di negeri ini bersifat adil kepada semua dan tidak terlalu rigid sehingga membebankan.
Malah menurut Menteri Besar lagi, dasar ini turut dipuji dan diterima baik oleh pihak pembangkang melalui Ketua Pembangkang, Loke Siew Fook (DAP-Chennah) ketika ucapan penangguhan di sidang dewan yang berlangsung hari ini.
Oleh: DUDI AZIZ
Blogger Comment
Facebook Comment