SEREMBAN, 13 OGOS – Ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini adalah berpunca daripada penyusunan semula nilai Yuen iaitu mata wang China, sebuah negara yang menjadi kuasa pedagang ketika ini.
Penyusunan mata wang tersebut memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk Barat dan keadaan ini menyebabkan pasaran saham seluruh dunia jatuh merudum jika tidak berhati-hati dan tidak mengambil langkah segera menanganinya. Senario ini turut memberi impak kepada ekonomi Malaysia.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media yang diadakan ketika menghadiri rumah terbuka Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (PEKERTI) di Dewan PEKERTI, Seremban menjelaskan bahawa ekonomi Malaysia bergantung kepada kegiatan perindustrian yang dieksport ke luar negara.
“Ketidaktentuan yang berlaku dalam sebuah negara yang berasaskan pengeksportan ini amat dirasai dan perlu diambil perhatian serius dan berfokus,” ujarnya.
Beliau juga memaklumkan bahawa pasaran mata wang dunia pada ketika ini menjadi huru-hara, kelam kabut dan merencatkan kegiatan ekonomi beberapa buah negara.
“Di Negeri Sembilan, kerajaan perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati. Gerak kerja kita melalui penjawat awam perlu berfokus. Kita perlu berupaya menghantar mesej-mesej dan signal yang jelas kepada rakyat negeri ini berkenaan masalah sebenar yang melanda agar ia dapat difahami dan melegakan mereka.
“Kita sedang berusaha menangani kemelut dan suasana ekonomi yag tidak menentu ini dengan baik agar mereka berfikiran terbuka dan tenteram,” ujarnya mengakhiri.
Oleh: DUDI AZIZ
Blogger Comment
Facebook Comment