SEREMBAN, 29 JULAI – Kerajaan Negeri bersetuju memberikan kuasa kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menubuhkan Tribunal Pengurusan Strata bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan pengurusan bangunan strata.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
Terdahulu, langkah ini adalah susulan daripada rancangan kerajaan untuk mewujudkan Tribunal Pengurusan Strata selaras dengan penguatkuasaan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang diwartakan pada Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, semua Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara perlu meluluskan resolusi berkaitan pelantikan pengerusi tribunal dan anggota di peringkat negeri masing-masing.
“Penubuhan tribunal ini memerlukan kelulusan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan jawatankuasa. Perkara ini amat penting bagi memastikan banyak kes-kes yang tertangguh didengar dan diurus sebaik mungkin,” ujar Menteri Besar.
Menurutnya, setelah diluluskan di peringkat Exco pada hari ini, perkara ini akan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri pada hujung tahun ini untuk dibahaskan dan diluluskan, seterusnya mungkin akan mula dilaksanakan pada awal tahun depan.
“Perlunya penubuhan sebuah jawatankuasa Tribunal Pengurusan Strata ini disebabkan di Seremban, Kuala Lumpur dan beberapa negeri lain di negara ini mempunyai banyak rumah pangsa yang mempunyai masalah. Sekiranya tidak ditangani dengan segera, ia akan terus menghimpit dan menyusahkan penduduk yang tinggal di rumah berbentuk strata khususnya flat kos rendah,” jelasnya.
Katanya lagi, masalah rumah berstrata ini perlu diselesaikan khususnya mereka yang tinggal di rumah pangsa kos rendah yang mana penghuninya kebanyakannya terdiri daripada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang pada pengakhiran ceritanya nanti, rumah mereka tidak ada penyelenggaraan dan tiada satu badan yang menguruskannya.
“Masalah juga berlaku dalam urusan jual beli, pembeli kadang-kadang ditipu seperti tidak mengetahui rumah yang dibeli masih mempunyai tunggakan hutang dan macam-macam lagi,” tambahnya.
Berbanding rumah strata jenis kondominium mewah, mereka tidak menghadapi bermasalah kerana mempunyai berkemampuan.
Selain itu, pelaksanaan penubuhan tribunal ini secara langsung dijangka dapat memberikan kesan positif dan signifikan kepada jutaan penduduk yang tinggal di bangunan berstrata.
Oleh: SALAWATI HARIS Foto: AHMAD FARHAN ZAKI
Blogger Comment
Facebook Comment