Reka Bentuk Tidak Capai Piawaian Punca Hospital Rembau Lewat Siap

1 atas

CHEMBONG, 11 OGOS – Walaupun agak kecewa dengan kemajuan dan kadar siap Hospital Rembau, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan akhirnya menerima alasan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menjelaskan secara terperinci kepadanya, hari ini.
Kelewatan pembinaan dikatakan berikutan pelan reka bentuk struktur utama Hospital Rembau terpaksa dibuat semula apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati reka bentuk asal pelan tidak mencapai piawaian ditetapkan.
Beliau hadir di tapak pembinaan hospital untuk melawat, melihat prestasi dan perkembangan terkini, namun berpuas hati selepas sesi taklimat diberikan.
“Walaupun baru diberi taklimat di atas kelewatan ini saya perlu memahaminya kerana masyarakat di luar sana tidak memahaminya. Mereka di luar sana menanti, bilakah hospital ini akan siap? Jika tidak siap-siap, selama itu mereka tidak akan pernah memahaminya,” tegas Menteri Besar ketika sesi taklimat tersebut.
Beliau mengarahkan agar pembinaan ini siap pada tempoh baru yang dianggarkan demi kesejahteraan rakyat yang menunggu sejak tahun 2008.
Terdahulu, rancangan pembinaan hanya diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) pada 2011, sebelum mula dibina pada 2013 tetapi kemudian mengalami masalah kelewatan lagi.
tengah
Ketika pemeriksaan tapak dan melihat semula lukisan reka bentuk tersebut, JKR mendapati struktur pembinaan amat lemah, tidak mampu menanggung beban, kerangka besi minimal dan dikhuatiri memberi kesan apabila hospital ini siap kelak.
Menurut Pegawai Penguasa JKR, Ir Haji Mohd Ridzwan Haji K. Othman perkara tersebut tidak akan mengambil masa yang lama.
“JKR memberhentikan khidmat Perunding Sivil dan Struktur, Majid & Associates Sdn Bhd pada Disember 2014 dan kemudiannya diambil alih pihaknya melalui unit HODT Civil, Structure & Geotechnical.
“Pemberhentian ini menjadikan projek ini tertangguh hampir setahun kerana kerja reka bentuk semula struktur pembinaan dan memecahkan kembali struktur pembinaan yang telah siap di lapangan yang  direka bentuk oleh perunding lama,” jelasnya.
Projek pembangunan Hospital Rembau ini bermula pada September 2013 dan  dijadualkan siap pada September 2016. Namun, ia dijangka siap pada hujung tahun 2017, selepas lukisan reka bentuk terkini diluluskan oleh pihak JKR. Selepas kelulusan ini, maka kerja-kerja pembinaan semula struktur dilakukan dan kemajuan pembinaan hospital ini berada dalam jadual baru yang ditetapkan.
Kos pembinaan Hospital Rembau berjumlah RM99 juta ini dibina di tanah berkeluasan 48.61 ekar terletak di Chembong, Rembau.  Berstatus hospital daerah dan bukan hospital pakar dengan muatan 76 buah katil.
Pembinaan hospital ini adalah untuk menampung keperluan dan kapasiti hospital lain seperti Hospital Tuanku Jaafar, Seremban yang sentiasa sibuk dan padat. Ia juga berada dalam lokasi strategik bagi penduduk di Daerah Rembau mendapatkan rawatan.
Oleh: DUDI AZIZ
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment