REMBAU, 11 OGOS – Pelan Pembangunan Negeri Sembilan (PPNS) 30 Tahun tidak akan menumpu kepada sektor pembuatan dan pelaburan semata-mata kerana terdapat pelbagai potensi daripada pelbagai sektor yang lain terutamanya pelancongan dan pertanian.
Sektor pertanian yang ketika ini hanya menyumbang sebanyak enam peratus pembangunan ekonomi negeri, namun melalui PPNS 30 Tahun yang akan dimulakan pada tahun hadapan meletakkan sasaran pencapaian awal sehingga 20 peratus dalam tempoh dua tahun.
Menteri Besar, Dato’ Haji Mohamad Haji Hasan berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis transformasi pemulihan dusun dan projek menanam pokok durian klon jenis D197 di tapak semaian, Kampung Tuan Haji Sulaiman, Pancang, Rembau, di sini, hari ini.
“Unjuran dan target ini mungkin dilihat amat mustahil dicapai tetapi semua agensi, jabatan dan pengusaha terlibat perlu berusaha gigih, cekal dan kuat bagi mencapai tahap tersebut.
“Gerak kerja secara konvensional tidak boleh lagi dilakukan kerana ia memakan masa. Pengusaha serta petani perlu berdaya saing, mempelajari dan mempelopori teknik yang baik untuk mengkomersialkan setiap hasil pertanian mereka,” katanya.
Katanya, terdapat banyak cara dan formula yang boleh mempercepatkan pengeluaran hasil tanaman supaya cepat dituai, dijual dan boleh berbuah sebanyak dua atau tiga kali setahun.
Negeri Sembilan Sebagai Dusun Buah-Buahan Lembah Klang
Kerajaan Negeri melalui sektor pertanian meletakkan sasaran agar negeri ini menjadi umpama dusun buah-buahan Lembah Klang yang mengeluarkan pelbagai hasil pertanian seperti durian, nenas, nangka dan cempedak.
“Biar orang luar mengenali Negeri Sembilan sebagai pengeluar buah-buahan di negeri ini dan apabila mereka di luar sana mahu menikmati buah-buahan tempatan, mereka akan ke Negeri Sembilan. Dalam masa yang sama, sektor pelancongan turut membangun,” tambah beliau lagi.
Dalam majlis tersebut, Menteri Besar turut meraikan dan menyampaikan sumbangan kepada golongan veteran penduduk Kampong Tuan Haji Sulaiman.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mat Ali Haji Hasan; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan, Dato’ Dr Haji Awaluddin Haji Said dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Hasim Rusdi.
Oleh: DUDI AZIZ
Blogger Comment
Facebook Comment