TINJAUAN: Penduduk Rembau Harap Pembinaan Hospital Berjalan Lancar


PEMBANGKANG telah memainkan isu kelewatan pembinaan Hospital Daerah Rembau. Bagaimanapun, penjelasan telah dilakukan secara terperinci oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Chembong, Dato’ Zaifulbahri Idris. Katanya, adalah lebih baik lewat siap daripada kemudian hari kelak ia mendatangkan keburukan kepada semua pihak.

Maklumat berkaitan kelewatan pembinaan adalah berikutan pelan reka bentuk struktur utama Hospital Rembau terpaksa dibuat semula apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati reka bentuk asal pelan tidak mencapai piawaian ditetapkan.

Krew portal The Negeri Sembilan Future, SALAWATI HARIS dan jurugambar AHMAD ZAHRIL ZAKARIA melakukan tinjauan untuk mendapatkan pandangan beberapa penduduk Rembau berkaitan isu ini. Didapati kebanyakan penduduk Rembau telah maklum tentang punca kelewatan dan mereka menerima dengan penuh harapan agar pembinaannya hospital ini berjalan lancar mengikut jadual baru yang ditetapkan.


MOHD YUSIZANI CHE MAT USOH, 34
Jurulatih PLKN di Astana Raja, Rembau


Mohd Yusizani Che Mat Usoh, 34, menjelaskan bahawa pembinaan Hospital Daerah Rembau adalah sesuatu perkara yang amat dinanti-nantikan kerana pada ketika ini keadaan di Klinik Kesihatan Rembau agak sangat sesak dan menyebabkan pesakit menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.

“Saya memang berharap sangat agar hospital ini direalisasikan kerana pada ketika ini jika berlaku sebarang kecemasan, saya akan ke Hospital Tampin. Walaupun jarak tidak jauh iaitu hanya 30 kilometer tetapi di sana bilangan doktor tidak ramai dan terhad.

“Pembinaan ini adalah satu cadangan yang bagus untuk keperluan komuniti setempat tapi saya cadangkan supaya biarlah hospital baru ini mempunyai bilangan doktor yang mencukupi, lengkap dengan makmal darah dan x-ray supaya perkhidmatannya lebih cepat dan efisien,” katanya.


SAPAR BIN SUTIR, 49
Penjawat Awam, Jabatan Penerangan Rembau


“SEBAGAI rakyat, saya tunggu walaupun lambat siap,” ujar Sapar bin Sutir, 49, dengan penuh pengharapan.

Katanya, pada peringkat awal diumumkan pembinaan hospital dan kemudiannya proses pecah tanah, dia dan penduduk Rembau amat gembira kerana terdapat kemudahan hospital kesihatan yang berhampiran. 

Beliau tidak menafikan agak kecewa dengan kelewatan namun terus berharap agar ia dapat siap pada tarikh baru yang dijangkakan.

“Bagi saya yang penting siap. Lambat tidak mengapa tapi pembinaan biar berjalan. Orang rumah saya hendak bersalin terpaksa ke Hospital Seremban kerana di Hospital Tampin kadang-kadang tidak terima jika ada kes seperti songsang dan masalah lain,” ujarnya.

Katanya lagi, beliau berasa belas dengan golongan warga emas yang terpaksa menunggu terlalu lama di Klinik Kesihatan yang setiap hari penuh dan sudah tidak dapat menampung pesakit. Manakala hendak ke Klinik 1Malaysia di Kota, agak jauh.

“Di sini ramai warga emas. Saya kasihan melihat mereka seakan trauma menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan dan ubat,” katanya dengan perasaan simpati.


JANNAKI A/P KATMALI, 62
Pekerja Am, Nestle Rembau

Jannaki a/p Katmali, 62, warga emas yang tinggal di Taman Koperasi, Rembau melahirkan rasa penuh pengharapan terhadap pembinaan hospital. Katanya, dirinya yang mempunyai banyak penyakit seperti darah tinggi dan kolesterol memerlukan rawatan yang kerap dan bekalan ubat yang mencukupi.

“Saya ada banyak penyakit. Jika ada hospital yang dekat, senanglah untuk dapat ubat. Saya harap sangat supaya kerajaan siapkan hospital ini dengan cepat,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mahu membina hospital di Rembau untuk keperluan penduduk.


Tuti Ahmad, 34.
Pekerja Restoran

Tuti Ahmad, 34, yang tinggal di Chengkau, Rembau berpendapat bahawa pembinaan hospital di Rembau adalah suatu keputusan yang baik.


“Saya hanya harap hospital ini siap dengan cepat walaupun kami dengar banyak cerita tentang masalah hospital. 

"Bila siap hospital maknanya penduduk di sini tak perlu risau untuk dapatkan rawatan yang selesa dan lengkap dengan kemudahan perubatan,” katanya.




Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment