Masalah Air di Tampin, Rembau dan Sg Terip Bakal Berakhir


PORT DICKSON, 20 MEI – Penduduk di daerah Tampin, Rembau dan Sg Terip kini boleh menarik nafas lega apabila masalah air yang dihadapi mereka akan berakhir selepas kerja pemasangan paip baharu di Loji Rawatan Air (LRA) dari Empangan Sawah Raja ke Bukit Tampin selesai hujung minggu ini.
Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco di Lexis Hibiscus Port Dickson, Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berkata, kerja-kerja ujian dan pengepaman akan dijalankan pada 1 Jun depan dan dijangka bekalan air terawat akan dapat dipam ke daerah berkenaan pada minggu kedua.
Menurut beliau, tambahan 4.4 juta gelen air mampu dibekalkan bagi keperluan di daerah terbabit khususnya Tampin dan Rembau yang memerlukan sebanyak 7 juta gelen air sehari.
“Saya gembira kerana jangkaan asal air bersih terawat yang dihasilkan di loji Sawah Raja sebanyak 2 juta gelen sehari tetapi setelah percubaan ujian tekanan dilakukan, kapasitinya meningkat sebanyak 4.4 juta gelen sehari.
“Dengan ini, jumlah rawatan air daripada loji Gemencheh dapat dikurangkan daripada 5 juta gelen sehari kepada 2 juta gelen sehari,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah membantu membekalkan air ke Negeri Sembilan ketika krisis air berlaku awal tahun ini.
Menurut Menteri Besar lagi, selain isu air selesai di Tampin, Rembau dan Sg Terip, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan satu pelan tindakan segera bagi menangani kerja-kerja pemasangan paip yang terbengkalai di Empangan Triang yang masih berbaki satu kilometer untuk disiapkan.
“Kontraktor penyelamat telah dilantik dan mereka telah diarahkan untuk menyiapkan baki  kerja pemasangan paip dan setelah siap, bekalan air dapat disalurkan ke Nilai, Labu, Enstek dan Sendayan,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyentuh masalah bekalan air yang bakal dihadapi di Negeri Sembilan bersempena pertumbuhan kawasan pembangunan baru Lembah Klang seluas 1,800 juta ekar yang dirancangkan Kerajaan Negeri iaitu Malaysia Vision Valley yang membabitkan kawasan Nilai hingga ke Port Dickson.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk membina sebuah lagi loji berhampiran Empangan Ngoi Ngoi yang berkapasiti 400 juta gelen sehari yang akan mampu menampung bekalan air sehingga tahun 2030 memandangkan bekalan air yang ada sekarang hanya dapat menampung sehingga tahun 2020 sahaja.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri sedang memikirkan sumber kewangan bagi pembangunan loji yang bernilai hampir RM400 juta, sama ada dengan mendapatkan geran, membuat pinjaman daripada Kerajaan Pusat ataupun melaksanakan pelan Independent Water Producer (IWP) iaitu menswastakan projek pembinaan loji.
“Kerajaan Negeri akan melaksanakan projek ini dengan segera bagi menangani kemungkinan masalah bekalan air di Negeri Sembilan akibat kerancakan pembangunan tersebut,” ujarnya mengakhiri.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment