Kilang Pengeluar 'Gear Box' Pertama Malaysia di Sendayan TechValley


SEREMBAN - Kilang pembuatan Electronic Automatic Transmission (E-AT) iaitu kilang Gear Box pertama Malaysia di Sendayan TechValley, Bandar Sri Sendayan telah dirasmikan pada 16 Jun lalu oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan.

Turut hadir ialah Presiden Akashi Kikai Industry (M) Co Limited (Jepun), Noryoshi Matsushita; Pengarah Urusan Akashi Kikai Industry (M) Sdn Bhd, Namura Hideki dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad melahirkan rasa kagum dengan pencapaian Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang mempunyai peningkatan pasaran sebanyak 18 peratus dan ia menunjukkan kedudukannya berada di tempat yang amat baik. Kenaikan tersebut adalah adalah pertumbuhan yang amat menggalakkan dalam industri pemotoran di negara ini.

“Saya gembira apabila mengetahui segala proses pengeluaran di kilang ini berjalan dengan baik dan ia diuruskan oleh anak-anak tempatan. Produk E-AT yang dikeluarkan mempunyai kualiti yang tinggi dengan kadar barang ditolak (reject) amat rendah berbanding di Jepun sendiri. Keadaan ini menunjukkan anak tempatan berkemampuan dalam menguruskan kilang berteknologi tinggi,” ujarnya.

Kilang E-AT ini turut menghasilkan enjin transmisi manual serta komponen lain dengan pelaburan sebanyak RM200 juta dalam pembinaannya bagi membekalkan produk-produknya secara eksklusif kepada Perodua. Dengan sasaran rekod jualan baharu kenderaan Perodua berjumlah 208,000 akan menjadikan Akashi Kikai begitu sibuk dalam pengeluaran produknya pada tahun ini.
  
Terdahulu, pada Mac 2012, Akashi Kikai Co Ltd dari Jepun telah menandatangani perjanjian dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) dan pemaju BSS Development Sdn Bhd bagi memperoleh tanah di Negeri Sembilan untuk membina kilang E-AT.

Keluasan tanah berjumlah 113,000 meter persegi dengan saiz kilang seluas 13,000 meter persegi mempunyai keupayaan pengeluaran kilang berjumlah 200,000 unit setahun.

"Akashi Kikai memulakan pengeluaran jumlah kecil pada 3 Mac 2014 dan tepat dua tahun selepas menandatangani perjanjian, jumlah pengeluarannya sejak Ogos lalu telah menghasilkan status penuh dan stabil pada tahun ini.

"Memandangkan kami telah mencapai kapasiti penuh, tumpuan kami ialah untuk mengukuhkan kualiti produk kami, persekitaran kerja yang baik, kecekapan dan kos berkesan," ujarPresiden Akashi Kikai Industry Co Ltd Jepun, Noryoshi Matsushita pada majlis pelancarannya.

Pada ketika ini, kilang Akashi Kikai berkemampuan mengeluarkan sebanyak 18,000 unit E-AT sehari dengan menggunakan teknologi robot berkomputer yang disertai kawalan kualiti yang amat tinggi.

Sejak Mac tahun lalu, ia telah mengeluarkan 180,000 unit E-AT untuk kegunaan model keluaran Perodua. Selain itu, kilang ini juga turut menghasilkan pengeluaran transmisi manual atas permintaan Perodua.

Pemegang saham AKI (M) terdiri daripada syarikat berpangkalan di Jepun, Akashi-Kikai Industry sebanyak 51 peratus, Daihatsu Motor Corp Sdn Bhd (39 peratus) dan Perodua (10 peratus).

Daihatsu, melalui anak syarikatnya, Akashi Kikai memperuntukkan RM100 juta modal yang kini mempunyai 200 kakitangan yang tenaga pengurusannya terdiri daripada anak tempatan.

Menurut Presiden Perodua & Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, pelaburan di Akashi Kikai adalah satu peristiwa penting bagi pelan strategik lima tahun Perodua untuk menjadi lebih kompetetif.

"Kami amat gembira kerana Malaysia telah dipilih untuk projek ini kerana ia menunjukkan bahawa negara ini masih menjadi destinasi yang berdaya maju bagi pelabur," kata Aminar Rashid.

Usahasama ini secara langsung membawa pemindahan teknologi tinggi ke negara ini bagi penghasilan produk yang sangat berkualiti di Malaysia. Selain itu, harapan lebih tinggi supaya lebih banyak vendor tempatan akan diberi peluang oleh Daihatsu dan Akashi Kikai untuk mengambil bahagian dalam pelan model pada masa depan.

Oleh: SALAWATI HARIS
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment