Jangan Biar Perundangan Islam Diperlekeh dan Dihina – MB

PORT DICKSON, 10 JUN – Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan menyeru supaya pengamal undang-undang  Islam lebih peka dan berusaha menangani pelbagai isu yang cuba memperlekeh dan menghina perundangan Islam di negara ini.
Berikut adalah ucapan beliau ketika menghadiri Majlis Makan Malam sempena Persidangan Pegawai Syariah Seluruh Malaysia Kali ke-16 di Dewan Serbaguna, Kolej Tentera Darat, Port Dickson malam tadi. Persidangan yang bertemakan ‘Al-Mafqud: Transformasi, Mekanisma dan Perundangan’ itu telah menghimpunkan pegawai-pegawai syariah dari seluruh Malaysia.
Menurut Menteri Besar, dalam arus globalisasi di Malaysia hari ini telah berlaku pelbagai cabaran hebat akibat transisi perubahan ruang maklumat yang lebih terbuka. Lantaran itu timbul pelbagai kerenah dalam masyarakat dengan mengemukakan isu-isu yang mampu menggugat perundangan Islam.
Manakala terdapat juga fahaman-fahaman di mahkamah sivil yang menyatakan bahawa hak asasi itu lebih penting dari al-Quran. Penghinaan seperti ini sememangnya tidak boleh dibiarkan dan sudah menjadi tanggungjawab pengamal undang-undang Islam untuk menjaga sistem perundangan syariah.
Oleh itu, banyak perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak timbul sebarang isu yang boleh digunapakai untuk memperlekehkan agama Islam.
“Saya tidak bersetuju dan berasa amat kecewa dengan sikap individu yang mencabar sistem kehakiman, menghina dan memperlekehkan sistem kehakiman Islam. Saya melihat pentadbiran agama Islam di Malaysia perlu perbetulkan dan diletakkan di landasan yang tepat supaya dihormati dan diakui kredibilitinya.
“Justeru itu, selaku pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan saya akan berusaha meningkatkan imej dan nilai-nilai dalam kehakiman syariah dengan meneliti supaya kaedah-kaedah yang ada di setiap enakmen diubah dan disesuaikan dengan keadaan semasa supaya tidak ada frasa yang boleh dipertikaikan,” ujarnya.
Katanya lagi, mengambil contoh dalam kes transgender, kerisauan masyarakat Islam bukan kerana isunya tetapi tindakan mereka yang berusaha untuk menggugurkan enakmen kehakiman syariah di negara ini.
Menteri Besar turut menyeru supaya pegawai-pegawai syariah yang tidak bersetuju dengan sebarang perkara yang menyentuh tentang enakmen perundangan Islam di Mahkamah Persekutuan agar mengusulkan kepada majlis agama Islam negeri masing-masing. Kemudian, perkara tersebut perlu dibawa kepada sultan untuk berunding. Perkara ini perlu dilakukan untuk mengelakkan sistem kehakiman syariah menjadi tempang dan terus dicabar.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syarie Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut; Ketua Hakim Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Shukor Sabudin; Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Dato’ Dr Awaludin Said dan Ketua Polis Negeri Sembilan,Dato’ Jaafar Mohd Yusof.
Oleh: SALAWATI HARIS
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment