Rumah Mampu Milik Standard Bakal Dibangunkan

Seremban,  13 Mei – Kerajaan Negeri merancang Dasar Perumahan Negeri Sembilan kerana keprihatinan terhadap rakyat miskin menjelang negeri ini mencapai taraf Negeri Maju pada 2020.
Menurut Menteri Besar, YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, dasar perumahan itu sudah berada di peringkat akhir dan Kerajaan Negeri akan memastikan ia praktikal dan diterima semua parti.
Pada ketika ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diselaraskan terutamanya terhadap pemaju dan pemegang saham. Kerajaan Negeri dalam proses berunding dengan mereka bagi pelaksanaan rumah mampu milik.
Manakala pemaju juga boleh berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk menyatakan polisi baru mereka bagi memastikan mereka tidak rugi dan pada masa yang sama orang ramai mempunyai rumah untuk didiami.
Tiada Lagi Komponen Rumah Murah
YAB Datuk Seri Utama Haji Mohamad menjelaskan bahawa rumah murah yang hendak dilaksanakan adalah pembinaan yang akan diubah kepada rumah mampu milik.
“Menjelang 2020 ketika Negeri Sembilan mencapai taraf Negeri Maju, sudah tidak ada lagi komponen rumah murah. Kalau yang adapun sekurang-kurangnya rumah mampu milik yang sedang dirancang pelaksanaannya,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sebelum ini rumah murah yang dibina sudah tidak sesuai lagi kerana hanya berkeluasan 700 kaki persegi dan mempunyai satu bilik.
Dengan gaji minimum rakyat yang sudah mencapai RM900, kebanyakan mereka berkemampuan untuk memiliki Rumah Mampu Milik Standard.
Bagaimanapun, Rumah Mampu Milik Standard ini akan dibina dengan keluasan minima 20×60 kaki dengan siapan sederhana iaitu tanpa parkir, plaster siling dan kabinet dapur.
“Pembinaan rumah tiga bilik dua bilik air yang bakal dilaksanakan itu membolehkan anak-anak dan ibu bapa tidur di bilik berasingan dan lebih selesa. Pemilik juga boleh mengubah suai rumah kemudian iaitu apabila mereka sudah mempunyai simpanan yang cukup,” jelasnya lagi.
Terdapat beberapa kategori Rumah Mampu Milik Standard iaitu Rumah Mampu Milik Standard yang berharga RM80 ribu ke bawah, Rumah Mampu Milik Duluxe iaitu bernilai RM250 ribu ke bawah dan Rumah Mampu Milik Superior yang berharga RM400 ribu ke bawah.
Dalam hal ini, 50 peratus unit boleh dijual oleh pemaju dengan harga yang mereka mahu, manakala 50 peratus unit lagi dikawal oleh Kerajaan Negeri. Ini kerana kerajaan tidak mahu melihat Negeri Sembilan membangun dengan cepat tetapi penduduknya tidak mampu membeli rumah.
Beliau mahu melihat dasar tersebut memberi kepuasan kepada rakyat dan yakin ia memberi makna yang besar kepada mereka.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment