Kerajaan Negeri Laksana Penambahbaikan Operasi myBAS



Oleh SALAWATI HARIS

KERAJAAN Negeri Sembilan telah melaksanakan langkah penambahbaikan operasi rangkaian myBAS bermula pada 01 Ogos 2017.
Menurut Menteri Besar YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, penambahbaikan itu berdasarkan hasil kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan pengendali rangkaian myBAS dalam tempoh satu tahun perkhidmatan pengangkutan awam itu sejak ia mula beroperasi pada awal tahun lalu.
Susun atur dan penambahbaikan tersebut membabitkan jajaran atau jalan yang tidak ada penumpang yang menunjukkan tidak ada keperluan untuk menyediakan laluan bas di situ.
Laluan myBAS yang telah ditamatkan perkhidmatan ialah Mantin-Pekan Lenggeng-Broga dan laluan Mantin-Kampung Daching-Broga.
Manakala laluan baharu yang diadakan ialah daripada Terminal 1-Pekan Linggi, Terminal 1-MRSM Kuala Klawang, Terminal Port Dickson-Pasir Panjang, Feeder Seremban Town dan Feeder Port Dickson.
Dalam penambahbaikan tersebut, jumlah laluan myBAS dikurangkan daripada 27 laluan kepada 22 laluan dengan membabitkan pengurangan penggunaan myBAS daripada 111 buah bas kepada 94 buah bas.
Namun demikian, kekerapan laluan bas telah ditambah jika dahulu dengan kekerapan minimum dua jam dan maksimum 30 minit tetapi dengan susun atur semula kekerapan laluan bas, maksimum masa laluan bas adalah satu jam dan minimum 20 minit sahaja.
Merujuk kepada kadar tambang, kadar masih RM0.94 sen bagi dua kilometer pertama dan RM0.10 sen bagi setiap satu kilometer berikutnya. Harga tiket maksimum ialah RM6.80 iaitu daripada Seremban-Bahau dan paling minimum RM0.90 sen.
Tambang akan dikenakan secara penuh kepada penumpang dewasa dan separuh harga kepada murid sekolah (memakai seragam penuh), Orang Kurang Upaya (OKU), Warga Emas (>60 tahun) dan kanak-kanak 7-12 tahun. Manakala bagi kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah tambang adalah percuma.
Secara keseluruhannya, penambahbaikan yang dilaksanakan adalah menghubungkan semua laluan ke terminal utama, menghubungkan laluan yang kurang penumpang dengan laluan utama, mewujudkan dua perkhidmatan bas pengantara di bandar Seremban dan Port Dickson yang meliputi kawasan pentadbiran kerajaan, perniagaan dan komersial utama dan mewujudkan perkhidmatan bas yang melalui kawasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
Menurut Menteri Besar, laluan myBAS ke hospital yang diadakan adalah bertujuan untuk membantu mengurangkan kos orang ramai yang hendak mendapatkan rawatan dan mengambil ubat berbanding jika mereka menggunakan teksi yang mengenakan caj mahal kepada penumpang.
Keduanya, perkhidmatan ini boleh mengurangkan kesesakan tempat meletak kereta di hospital yang mana pesakit dan pelawat tidak perlu lagi membawa kereta.
Kata beliau lagi, tindakan ini adalah salah satu daripada cara kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan mengurangkan masalah kesesakan tempat meletak kereta di hospital.

Jelasnya, penambahbaikan yang dilakukan terhadap operasi myBAS adalah sesuatu yang memberi impak besar serta dan manfaat kepada masyarakat dan beliau menyarankan agar orang ramai menggunakan perkhidmatan bas bagi mengurangkan kesesakan.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment