Kumpulan Hotel Lexis Catat 3.6j Pengunjung


KUMPULAN Hotel Lexis yang terdiri daripada Lexis, Grand Lexis dan Lexis Hibiscus telah merekodkan pencapaian cemerlang dengan mencatatkan sebanyak 3.6 juta pengunjung yang datang daripada 126 negara sejak ia beroperasi.

Berikut dinyatakan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dalam sidang media selepas Majlis Pembukaan Rasmi Lexis Hibiscus Port Dickson pada 31 Julai lalu.
Menurut Menteri Besar, daripada 3.6 juta pengunjung, kira-kira 50 peratus pelancong yang datang terdiri daripada pelancong luar negara.
Justeru itu beliau mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Kuala Lumpur Metro terhadap pembinaan hotel ketiga di Port Dickson iaitu Lexis Hibiscus yang dibuka selepas Lexis dan Grand Lexis.
Beliau percaya ia akan menjadi tarikan utama pelancong daripada dalam dan luar negara untuk datang ke Negeri Sembilan.
Jelasnya, senario ini adalah baik dalam sektor ekonomi pelancongan Malaysia apabila ramai pelancong datang ke negeri ini dan beliau yakin apabila siap sepenuhnya nanti, jumlah pelancong yang datang akan bertambah.
Terdahulu, Lexis Hibiscus yang telah mula beroperasi secara berperingkat-peringkat pada tahun lalu mempunyai sebanyak 642 bilik dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 522 unit adalah bangunan chalet atas air.
Ia adalah sebuah resort ikonik yang mempunyai struktur menyerupai sekuntum bunga raya iaitu bunga kebangsaan Malaysia, terbesar di Port Dickson dan telah dianugerahkan dengan taraf lima bintang oleh Kementerian Pelancongan Malaysia.
Menteri Besar berharap agar pengusaha hotel di Negeri Sembilan mengambil inisiatif untuk memulihkan dan memperbaiki taraf perkhidmatan bilik-bilik hotel seperti menukar perkakas dalamannya bagi menarik pelancong menginap di hotel mereka.
Beliau yakin apabila siap laluan lebuh raya daripada Kuala Lumpur ke Port Dickson serta pembangunan yang rancak di sekitar Seremban dan Port Dickson, ia akan menjadi daya tarikan yang amat baik dan memberikan pulangan yang lumayan kepada industri pelancongan di negeri ini.
Cadang Kerjasama Bersama Produk Pelancongan Berskala Kecil
Menteri Besar turut meminta supaya persatuan-persatuan hotel di Negeri Sembilan mengambil kira cadangan supaya perhotelan di negeri ini mempunyai banyak produk-produk sampingan dan bekerjasama dengan produk pelancongan berskala kecil.
Katanya, kerjasama dengan operator yang mengendalikan produk-produk pelancongan ini boleh menambah masa pelancong untuk tinggal lebih lama di hotel.
Beliau mengambil contoh, kelip-kelip di Sungai Timun dan aktiviti menangkap udang di kolam penternakan udang terbesar negara yang terletak di Lukut.

“Saya mahu supaya sektor pelancongan saling bekerjasama untuk memastikan industri pelancongan menjadi sumber kepada penduduk dan negara,” ujarnya mengakhiri.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment