Transformasi myBAS Pertingkatkan Perkhidmatan Pengangkutan Awam


NEGERI SEMBILAN bakal mengalami perubahan apabila perkhidmatan pengangkutan awam myBAS menerusi Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mula dilaksanakanpada penghujung tahun ini. Pengguna di laluan Senawang, Nilai, Tampin, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Broga dan Port Dickson akan menikmati kemudahan myBAS dengan jangkaan seramai 7.47 juta penumpang setahun.
Berasaskan konsep ‘network planning’, SPAD dengan inisiatif kemasyarakatan telah melancarkan projek bernilai RM100 juta yang membabitkan lima ibu negeri termasuk Seremban dan ia dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Selain Seremban, bandar yang terlibat ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh (Perak), Kuantan (Pahang) dan Johor Bahru (Johor).
Memandangkan industri bas henti-henti telah mengalami beberapa masalah struktur yang menjejaskan memampanannya sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam, SPAD berusaha melaksanakan program ini bagi menghidupkan semula perkhidmatan ini. Malahan, ia bakal menjadi tunjang kepada perkhidmatan awam apabila dilancarkan kesemua daerah sepenuhnya di negara ini pada 2020.
Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti SPAD bertujuan membantu mengekalkan perkhidmatan bas henti-henti dan pada masa sama berusaha menghubungkan kawasan luar bandar ke luar bandar, kampung ke kampung dan kampung ke bandar. Jadual masa perjalanan juga ditetapkan agar dapat membantu penduduk setempat bergerak ke tempat kerja, sekolah dan hospital dengan cara yang efisien dan seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan serta produktiviti.
Rangkaian perhubungan perkhidmatan myBAS yang ditingkatkan merangkumi kawasan utama seperti pusat komersial, kawasan perumahan, sekolah-sekolah dan kolej. Di Seremban, liputan rangkaian bas ditingkatkan kepada 601 km daripada 343 km dengan bilangan laluan ditingkatkan daripada 19 laluan kepada 24 laluan.
Di Seremban, sejumlah 107 buah myBAS akan melalui sebahagian besar bandar, pinggir bandar dan di sekitar Nilai pada setiap 6 pagi hingga 9 malam setiap hari.
Menurut sumber SPAD, perkhidmatan myBAS yang sepatutnya beroperasi di Seremban pada April akan beroperasi pada penghujung tahun ini di atas masalah yang tidak dapat dielakkan termasuklah pemilihan pengendalinya yang memerlukan ketelitian.

Hampir 90 peratus bas yang digunakan Seremban adalah jenama baru dan pemasangannya mengambil masa yang lebih lama daripada masa yang dijangkakan termasuklah penggunaan mesin tiket elektronik dan ujian percubaan pada semua bas.

Kemudahan bas awam myBAS diharapkan dapat menjadi pelengkap dalam memberikan perkhidmatan yang efisien kepada masyarakat Negeri Sembilan yang sedang pesat membangun khususnya dalam pelaksanaan Malaysia Vision Valley (MVV). MVV ialah sebuah pelan pembesaran wilayah Lembah Klang di kawasan tengah Negeri Sembilan yang membabitkan Nilai, Seremban dan Port Dickson yang akan bermula pada tahun hadapan.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment