KEMARAU: Penduduk Dinasihat Guna Air Secara Berhemah dan Jimat Cermat


SEREMBAN: Musim kemarau yang melanda negara dan Negeri Sembilan akibat musim Monsun Barat Daya pada ketika ini boleh menyebabkan bekalan air menjadi kritikal.

Justeru itu, Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menasihatkan penduduk Negeri Sembilan supaya menggunakan air secara berjimat-cermat dan berhemah.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil kesempatan di atas kebaikan Kerajaan Negeri Sembilan yang tidak menaikkan tarif air kepada pengguna. Jangan disebabkan tarif air murah maka air digunakan secara sewenangnya.

“Gunakanlah air sekadar yang perlu sahaja supaya kita sendiri tidak terbeban dengan bil air yang tinggi. Malahan, apabila air tidak digunakan secara berhemah pada musim kemarau ia akan mengakibatkan bekalan air berada di tahap kritikal,” ujarnya serius. 

Beberapa peringkat pelan tindakan akan dilakukan oleh SAINS jika berlaku penyusutan bekalan air dari mana-mana empangan.

Menurut Menteri Besar, setakat ini perhatian ditumpukan di kawasan Tampin dan Rembau kerana bekalan airnya terlampau kritikal walaupun menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Sawah Raja. Empangan Gemencheh yang turut mendapat bekalan daripada Logi Sawah Raja juga dikhuatiri mempunyai bekalan air yang tidak cukup kerana berada di kawasan berpenduduk ramai.

Beliau berharap agar Sungai Rembau yang menjadi punca air bagi Loji Sawah Raja tidak mengalami kekurangan air walaupun punca air di Sungai Rembau yang diperoleh daripada Empangan Hulu Sepri dalam keadaan maksima. Jika berlaku sebarang kekurangan, air daripada empangan tersebut akan dilepaskan ke Sungai Rembau.

Manakala, keadaan Sungai Muar yang mempunyai lima loji rawatan air di sepanjang sungai tersebut juga dipantau. Jika air kurang di Sungai Muar, air daripada Empangan Talang di Kuala Pilah akan dilepaskan. Untuk menampung keperluan di kelima-lima logi yang terdapat di Sungai Muar, maka lebih kurang 20 juta gelen air akan dilepaskan.

Kata beliau lagi, pada ketika ini Empangan Triang dan Empangan Kelinchi berada di dalam keadaan baik. Manakala di Sungai Linggi terdapat masalah disebabkan apabila berlaku kekurangan air, maka kandungan ammonianya akan menjadi tinggi disebabkan penggunaan klorin yang banyak. Keadaan ini menyebabkan SAINS terpaksa berbelanja tinggi dalam proses merawat air.

Paip Baharu

Pada ketika ini paip baharu daripada Rembau telah disambungkan ke grip Tampin dan masukkan ke kolam Empangan di Bukit Tampin. Air rawatan daripada Loji Sawah Raja berjumlah 4.5 juta gelen sehari dan bekalan air bersih sebanyak 500 ribu gelen sehari daripada juga diperoleh daripada grip di Johol menyebabkan kurang pergantungan terhadap Loji Gemencheh.

Jika tidak ada pertambahan air dalam masa sebulan, berkemungkinan Empangan Gemencheh terpaksa ditutup kerana jangka hayat air hanya sebulan, selepas itu ia tidak boleh digunakan lagi kerana sudah berlumpur. Justeru itu, paras air perlu dinaikkan lagi dan memaksa penghasilan air terawat yang lebih banyak di Loji Sawah Raja sehingga 110 peratus dan SAINS yakin sebagai logi yang masih baru, usaha ini boleh dilakukan.

“Sebagai langkah terakhir, sekiranya berlaku keadaan seperti ini maka catuan air terpaksa dilakukan seminggu dua kali  bagi menambahkan kapasiti air di Rembau,” katanya.

Mengulas berkaitan Empangan Gemencheh, katanya operasi empangan ini akan diteruskan kerana bekalan airnya berguna untuk trip Tampin yang ketika ini mempunyai banyak kem tentera besar dan di Gemas juga berlaku pembangunan yang giat dijalankan di Gemas.

“Air daripada Sungai Jelai akan dipam ke Empangan Gemencheh dan dipenuhkan ke tahap maksima. Jika tidak hujan pun, air akan dapat bertahan dalam masa tujuh bulan.

“Apabila siap loji baru bersebelahan loji Sawah Raja dalam jangka masa tiga tahun lagi, maka seluruh daerah Rembau akan dapat menerima air yang dirawat di situ dan turut membekalkan air ke daerah Port Dickson sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Pihak SAINS akan membuat keputusan sama ada untuk meneruskan operasi loji di Kuala Sawah atau tidak kerana kos operasinya yang sangat tinggi disebabkan kos merawat air yang diambil daripada Sungai Linggi.

“Air daripada Sungai Linggi mempunyai tahap kekeruhan yang sangat tinggi daripada bahan buangan daripada sisa industri, pasar dan lain-lain pencemaran yang masuk ke sungai. Proses merawat agak lama sebelum dapat dihantar kepada pengguna menyebabkan kos rawatan yang sangat tinggi iaitu  dua kali ganda berbanding dengan loji lain.


“Justeru itu, jaga dan sayangilah sungai kita kerana ia menjadi punca minuman kita. Jika pengguna sendiri mengambil sikap tidak peduli tentang kualiti air, bebanan ini akhirnya terpaksa ditanggung pengguna sendiri. Kerajaan tidak akan dapat melindungi hak pengguna sampai bila-bila sekiranya pengguna sendiri tidak mahu bekerjasama,” nasihat beliau mengakhiri. 

Oleh: SALAWATI HARIS
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment