KOMPLEKS MAINS: Kalimah ‘Allah’ Berdiri Megah, Lambang Kehebatan Syiar Islam di Negeri Sembilan


Oleh SALAWATI HARIS

KOMPLEKS MAINS, sebuah bangunan baharu milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bakal menjadi mercu tanda negeri Sembilan akan dirasmikan pada penghujung tahun ini. Dengan kalimah ‘Allah’ di bahagian hadapan dinding bangunan yang akan dapat disaksikan dari beberapa sudut, kompleks setinggi 18 tingkat ini berdiri megah sebagai agensi Islam semegah teguhnya syiar Islam di negeri ini.

Pembangunan kompleks ini sewajarnya menjadi contoh kepada Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat beragama Islam di Negeri Sembilan. Pengoperasiannya kelak akan memusatkan pengurusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan di bawah satu bumbung iaitu pejabat Baitulmal Negeri Sembilan, Pusat Zakat Negeri Sembilan, MAINS Holding, anak syarikat milik MAINS, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan sebahagian daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

Bangunan yang dibina di kawasan seluas 0.77 hektar di Jalan Taman Bunga, Seremban sejak Februari 2012 dengan kos dianggarkan sebanyak RM59 juta ini direka dengan bercirikan reka bentuk moden dan Islam. Dahulunya, tapak tersebut adalah bekas sebuah hotel yang boleh diketegorikan sebagai 'sarang maksiat' yang dikenali Lake View Hotel. 

Terdapat sebuah dataran untuk penganjuran pelbagai acara serta kemudahan lain seperti restoran dan ruang perniagaan bercirikan kesenian Morocco yang diturut dibuka kepada usahawan-usahawan Islam. Selain menempatkan pejabat-pejabat daripada agensi agama di bawah MAINS, kompleks ini juga mempunyai ruang pejabat yang bakal dibuka untuk disewakan kepada syarikat-syarikat yang berminat.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi MAINS, langkah bijak jalinan agensi Islam dengan wujudnya kerjasama daripada pembiayaan pinjaman Bank Islam apabila ia menjadi penyewa utama menara ini. Ini bermakna hutang bank dibayar melalui sewaan menerusi terma-terma yang dipersetujui bersama.

Selain mendapat pembiayaan pinjaman daripada Bank Islam, sebahagian lagi diperolehi daripada wang dana sumber am iaitu hasil daripada pelaburan saham, projek kuari dan ladang milik MAINS.

Gahnya kompleks Islam ini menjelaskan kejayaan pentadbiran Mains sebagai sebuah entiti agama yang mempunyai dananya sendiri daripada hasil pelaburan. Apatah lagi kejayaan itu diterjemahkan apabila MAINS berjaya mencapai kecemerlangan dalam penarafan empat bintang menerusi Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun kerana mempunyai rekod dan tadbir urus yang baik dalam kewangan.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment