Rancangan Pembangunan dan Pemodenan 30 Tahun NS Dilaksana Tahun Hadapan

IMG_8968

SEREMBAN, 13 OGOS – Kerajaan Negeri Sembilan akan melancarkan Rancangan Pembangunan dan Pemodenan 30 Tahun Negeri Sembilan (2016-2045) pada awal tahun hadapan.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menjelaskan bahawa rancangan ini akan merangkumi semua aspek kesejahteraan penduduk Negeri Sembilan yang didokong dan disokong oleh satu dasar teras iaitu Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) yang akan diperkukuh dan dikemaskinikan dengan lebih baik lagi.
Dasar ini juga akan merangkumi beberapa aspek dan elemen-elemen penting berkenaan campur tangan Kerajaan Negeri di dalam beberapa dasar yang memberi keutamaan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis rumah terbuka Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (PEKERTI) di Dewan PEKERTI, semalam.
Menteri Besar menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak mahu melihat rakyat negeri ini terumbang-ambing dan derita.
“Kita tidak mahu negeri ini terlalu bergantung kepada pasaran terbuka. Pasaran terbuka boleh jadi baik tetapi jika terlalu terbuka, proses pengambilan untung akan berleluasa dan menyebabkan rakyat susah.
“Jadi, proses-proses  intervansi oleh Kerajaan Negeri seperti Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS)  yang mewujudkan 50 peratus Rumah Mampu Milik (RMM) adalah satu dasar yang perlu,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri bukan mahu sengaja campur tangan tetapi jika dasar ini tidak dilaksanakan, dalam jangka masa panjang rakyat akan menanggung beban hidup dan menderita.
Justeru itu, Kerajaan Negeri akan melaksanakan banyak lagi dasar intervensi. Antaranya, Dasar Pembangunan Luar Bandar supaya identiti desa dan pedalaman negeri ini terpelihara dan diberi nafas baru.
“Dengan cara begini, penduduk desa dan pedalaman akan terus berada di kampung halaman mereka dengan segala kemudahan yang bakal disediakan dan dilaksanakan Kerajaan Negeri termasuk peluang pekerjaan,” ujarnya yang memberi keyakinan bahawa dasar ini akan dapat menzahirkan kehidupan yang lebih sempurna.
Selain itu, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan menyambung Dasar Pencahayaan yang berakhir pada tahun ini kepada lima tahun lagi.
Oleh: DUDI AZIZ
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment