Negeri Sembilan Bertegas Kekalkan Rizab Tanah Lapang


SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan membangunkan pusat riadah dengan matlamat mengelak anak-anak muda membuang masa melepak di simpang-simpang jalan disebabkan tidak tempat untuk melakukan aktiviti riadah. Implikasi daripada masalah ini, akhirnya terjadilah pelbagai gejala sosial termasuklah mat rempit.

Justeru itu, kawasan rizab tanah lapang digunakan untuk pembinaan taman bagi kegunaan masyarakat beriadah dan mengisi masa lapang.

Kerajaan Negeri mengamalkan dasar bertegas untuk tidak membenarkan rizab tanah lapang digunakan bagi sebarang tujuan pembangunan termasuk cadangan membina tadika, balai raya, pencawang telekomunikasi dan sebagainya.

“Kita tak akan berkompromi terhadap sebarang permohonan pembinaan bangunan kecualilah untuk tujuan asal dan terdesak iaitu untuk kepentingan umum. Namun demikian, jika ada perkara berkaitan kepentingan awam kita boleh pertimbangkan, selain itu, carilah tanah lain,” ujar Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dengan tegasnya.

Menurutnya, sejak tiga tahun kebelakangan ini Kerajaan Negeri Sembilan telah membina banyak tempat permainan futsal dan selepas itu pelbagai masalah sosial dan mat rempit dapat diatasi kerana golongan belia dan para remaja khususnya sudah mempunyai tempat untuk mengisi masa lapang.

Hasil daripada usaha tersebut, Kerajaan Negeri Sembilan memandang peri pentingnya mengekalkan rizab tanah lapang untuk pembangunan taman-taman bagi tujuan masyarakat beriadah.

“Sudah lima tahun kita tidak benarkan sebarang tanah rizab kawasan lapang dibangunkan untuk apa-apa tujuan selain untuk tanah lapang. Sepatutnya lebih ramai penduduk maka semakin banyak tanah lapang, bukannya semakin sedikit. Jika mana-mana pihak ingin lakukan pembangunan, carilah tanah lain tetapi bukanlah menggunakan rizab tanah lapang yang kita ada,” ujar Menteri Besar.

Pembinaan Central Park di MVV

Mengulas mengenai perancangan terkini terhadap rizab tanah lapang yang terdapat di Negeri Sembilan, negeri ini akan mempunyai Central Park sendiri sebagaimana yang terdapat di bandar-bandar utama dunia seperti London, New York dan Paris.

Dalam pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) kelak akan dibangunkan sejumlah 1,000 ekar tanah lapang untuk penduduk menghirup udara segar dan beriadah.

Pembinaan taman yang bakal dilaksanakan di kawasan seluas 400 hektar akan membentuk sebahagian penting daripada Malaysia Vision Valley (MVV), sebuah projek 108,000 hektar bernilai berbilion ringgit yang akan dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun akan datang bermula pada tahun hadapan.

Central Park akan menjadi tempat orang ramai menjalankan aktiviti riadah seperti berjogging, bersenam dan berbasikal. Persekitaran taman pula akan ditanam dengan pokok-pokok hijau bagi mengekalkan persekitaran yang sihat.

"Ia akan menjadi kawasan hijau di mana orang ramai boleh berjalan-jalan dan menikmati persekitaran yang sihat,” ujarnya mengakhiri.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment