Hospital Rembau Tidak Pernah Terbengkalai – Dato’ Zaifulbahri Idris




REMBAU - ISU kelewatan pembinaan Hospital Daerah Rembau yang menelan kos sebanyak 99 juta di tanah berkeluasan 48.1 hektar terletak di Chembong bukanlah perkara baru bagi penduduk di sekitar Rembau. Walaupun pembinaan hospital ini telah diuar-uarkan sejak tahun 2008 tetapi rancangan pembinaan hanya diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) pada 2011, sebelum mula dibina pada 2013 dan dijadualkan siap pada September 2016. 

Namun demikian, pembinaannya mengalami masalah kelewatan sekali lagi apabila pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati struktur pembinaannya amat lemah, tidak mampu menanggung beban, kerangka besi minimal dan dikhuatiri memberi kesan apabila hospital ini siap kelak. Apabila mendapati reka bentuk pelan struktur utama Hospital Rembau tidak mencapai piawaian ditetapkan maka ia terpaksa dibuat semula.

Justeru itu, JKR memberhentikan khidmat Perunding Sivil dan Struktur, Majid & Associates Sdn Bhd pada Disember 2014 dan kemudiannya diambil alih pihaknya melalui unit HODT Civil, Structure & Geotechnical. 

Pemberhentian khidmat tersebut menjadikan projek pembinaan tertangguh hampir setahun disebabkan kerja-kerja mereka bentuk semula struktur pembinaan dan memecahkan kembali struktur pembinaan yang telah siap di lapangan yang direka bentuk oleh perunding lama. Selepas lukisan reka bentuk terkini diluluskan oleh JKR, maka tarikh baru dijangka siap ialah pada tahun 2017.

Mengulas mengenai kelewatan pembinaan hospital, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Dato' Zaifulbahri Idris menegaskan bahawa pembinaannya tidak pernah terbengkalai, malah kerja-kerja pembinaan telah dilakukan sejak mula lagi sehingga hari ini.
 
“Bagi saya tindakan menyemak semula dan memperbetulkannya pelan struktur adalah satu tindakan yang tepat daripada kita meneruskan sesuatu yang silap tetapi akhirnya akan memberikan kesan yang tidak baik dari aspek keselamatan. Malah, ia akan mengakibatkan kos yang lebih besar yang akan merugikan. Tidak mengapakah jika ia mengambil masa sedikit daripada menimbulkan banyak kesan negatif,” ujarnya.

Tidak sepatutnya dijadikan isu oleh pembangkang

Ditanya mengenai kelewatan kadar siap Hopital Daerah Rembau ini yang dijadikan isu oleh pihak pembangkang Dato’ Zaifulbahri berkata, “Pembinaan hospital ini pada dasarnya baik dan apa yang dibuat ini pun sangat baik. Kita kenalpasti masalah pada masa pembinaannya dan bagi saya ia tidak sepatutnya dijadikan isu oleh pihak pembangkang. Lebih baik lewat sedikit bina daripada meneruskannya dan di hujungnya nanti timbul masalah apabila telah dibuka kepada orang ramai.

“Saya dimaklumkan tidak semua blok bangunan yang mengalami masalah tetapi hanya sebahagian iaitu satu dua blok sahaja yang diperbetulkan. Kerja-kerja pembinaan berterusan dilakukan sejak projek ini bermula dan atas dasar itulah saya menafikan projek pembinaan hospital ini dikatakan terbengkalai kerana saya melihat pekerjanya, mesin-mesin, jentera dan kelengkapan pembinaan sentiasa berada di tapak untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan,” katanya lagi.

Pembinaan hospital yang berstatus hospital daerah dan bukan hospital pakar dengan muatan 76 buah katil ini adalah untuk menampung keperluan dan kapasiti hospital lain seperti Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Tampin yang sentiasa sibuk dan padat.

“Sebagai Wakil Rakyat dan juga mewakili penduduk-penduduk di Rembau dan juga kawasan sekitarnya, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sembilan kerana membina sebuah hospital di daerah Rembau. Hospital ini akan menyediakan sebanyak 76 buah katil dan memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat Rembau dan kawasan berhampiran dengannya,” jelasnya lagi.

Meskipun dari kedudukan geografi Hospital Daerah Rembau ini tidak jauh daripada Pusat Bandar Seremban dan Tampin iaitu dalam lingkungan 20 kilometer dengan jangka masa pemanduan tidak sampai setengah jam tetapi beliau menganggap bahawa pembinaannya adalah satu perancangan yang amat baik.

“Perkhidmatan kesihatan daripada pembinaan hospital ini adalah satu keperluan kepada penduduk setempat tetapi bukanlah mendesak kerana disebabkan kedudukan hospital ini berada di tengah-tengah antara Seremban dan Tampin. Kedua-dua hospital daerah iaitu Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan Hospital Tampin masih boleh menangani masalah kesihatan penduduk, maka pembinaannya dibuat untuk mengurangkan bebanan di kedua-dua hospital ini,” tambahnya.

Selain melihat pencapaian pembinaan hospital ini dapat menampung keperluan kesihatan, memberikan khidmat nasihat kesihatan dan rawatan kesihatan masyarakat Rembau, Dato’ Zaifulbahri juga melihat kehadirannya kelak dapat memberikan timbal balik terhadap limpahan ekonomi di daerah tersebut.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment