TAMAN ABOK JAYA: Rumah Kos Sederhana Dibayar dengan Harga Kos Rendah


RAHANG – Sebuah majlis penyerahan kunci rumah jenis Townhouse kepada mereka yang telah berjaya dalam cabutan undi oleh Kerajaan Negeri Sembilan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan baru-baru ini. Majlis penyerahan kunci ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan di Taman Abok Jaya, Rahang, Seremban pada 17 Jun lalu.

Memandangkan konsep Rumah Kos Rendah sudah tidak sesuai disebabkan lagi kerana tidak memberikan gambaran yang baik dan sudah tidak boleh diterima pakai, maka rumah konsep Townhouse ini dibina sebagai mengotakan janji kepada penduduk walaupun perjanjian asal mengatakan pembinaan Rumah Kos Rendah.

Disebabkan Kerajaan Negeri tidak mahu melihat mereka hidup di rumah kecil, berhimpit-himpit dan dikelilingi masalah sosial, maka RMM telah dirancang dan dibina dengan harga Rumah Kos Rendah yang bernilai RM52,000 hingga RM53,000 dengan bayaran ansuran tidak melebihi RM200 sebulan. 

Kos sebenar rumah ialah RM145,000 tetapi nilai lebihan diserap oleh Kerajaan Negeri kerana inginkan penduduk mendapat kediaman yang selesa.

Penduduk akan mendapat status hak milik selepas selesai ansuran selama 15,20 atau 25 tahun, mana-mana mengikut jumlah tahun ansuran yang dipilih mereka.

Pada ketika ini Negeri Sembilan menghentikan pembinaan Rumah Kos Rendah kerana ia bukan sahaja tidak sesuai kepada mereka yang berkeluarga tetapi mengakibatkan pelbagai kesan tidak sihat kepada penghuninya.

Sebaliknya memperbanyakkan pembinaan RMM yang mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan ruang tamu serta dapur yang selesa dengan keluasan sekurang-kurangnya 1,200 kaki persegi yang dijual pada harga yang sangat munasabah.

Selaras dengan Dasar Perumahan Negeri Sembilan yang mensyaratkan setiap pemaju yang mahu membangunkan kawasan perumahan, mereka mesti mengikut syarat-syarat ditetapkan iaitu mesti membina RMM. Mereka mesti membina 15 peratus rumah berharga RM80,000 ke bawah, 15 peratus berharga RM250,000 dan 25 peratus lagi berharga RM400,000 ke bawah. jumlah baki 50 peratus lagi terpulang kepada pemaju untuk menetapkan harga selaras dengan harga pasaran.

Menyelusuri sejarah, pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Abok Jaya, ia adalah hasil pembinaan Jalan Raya Lingkaran Tengah Seremban (MRRS) yang melibatkan sebidang tanah kawasan setinggan di Kampung Abok.

Disebabkan pembinaan tersebut, kerajaan terpaksa mengambil tanah yang didiami penduduk setinggan memandangkan kawasan penempatan di Seremban sudah mula membesar dan sibuk. Ini kerana sebuah jajaran jalan raya perlu dibina untuk menampung peningkatan jumlah kenderaan hasil daripada pembangunan di Seremban.

Penghapusan Setinggan

Dalam usaha menghapuskan setinggan yang terdapat di negeri ini, langkah memindahkan mereka ke kawasan perumahan sementara dalam tempoh RMM siap dan para penduduk diberikan kemudahan Skim Sewa dan Beli.

Pada ketika ini, sebanyak 250 unit RMM sedang dibina di Estet Seliau. Kira-kira 150 buah daripadanya sudah siap dan akan diadakan cabutan undi.

“Kerajaan mahu pekerja-pekerja India yang telah dipaksa keluar diberi peluang untuk memiliki rumah sendiri bagi mengenangkan jasa-jasa mereka di dalam pembinaan negara,” ujar Mohamad dalam ucapannya pada majlis penyerahan kunci tersebut.

Justeru itu, Menteri Besar telah berjanji untuk menyediakan sebanyak 100 buah kediaman dikhaskan kepada mereka manakala selebihnya diberikan kepada penduduk menerusi cabutan undi setelah saringan kelayakan dilakukan.

“Kira-kira 100 buah rumah lagi sedang dibina untuk pekerja estet yang teraniaya di kawasan Tanah Merah di Bukit Pelandok dan akan siap pada penghujung tahun hadapan. Pada ketika ini Kerajaan Negeri sedang meneliti 23 lagi tempat untuk pembinaan RMM,” katanya.

Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk di Negeri Sembilan dengan bersungguh-sungguh menyelesaikan pelbagai perkara dan pada masa yang sama menjaga kebajikan mereka.

Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment