SEREMBAN, 24 JUN – Kerajaan Negeri Sembilan bakal membangunkan Rumah Kedai Mampu Milik (RKMM) yang pertama di Malaysia apabila pembinaannya mula dilaksanakan di Sunggala, Port Dickson bersama-sama dengan Rumah Mampu Milik (RMM).
Kenyataan berikut dijelaskan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan pada sidang media bertempat di Wisma Negeri hari ini selepas mesyuarat Exco berlangsung.
Menurut Menteri Besar, pembinaan RKMM itu adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) memiliki kedai sendiri dalam keadaan kenaikan harga hartanah terutamanya di pusat perniagaan.
Lot kedai yang kebiasaannya bernilai RM750,000 ke atas akan dapat dimiliki dengan 50 peratus lebih rendah dengan anggaran bukaan keluasan sekurang-kurangnya 20 kaki.
“Rumah Kedai Mampu Milik ini akan dibina setingkat berbanding kebiasaan dua, tiga dan empat tingkat. Secara langsung ia akan mengurangkan masalah peniaga kecil seperti para peniaga yang membuka kedai di bawah pokok atau membuat bengkel di tepi simpang,” ujarnya mengakhiri.
Blogger Comment
Facebook Comment