REMBAU, 08 Jun – Tiada lagi catuan bekalan air di daerah Rembau dan Tampin apabila Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) melakukan kerja pemasangan saluran paip berukuran 900mm sepanjang 5.25km dari Loji Rawatan Air Sawah Raja, Rembau ke persimpangan Kampung Astana Raja, Kota, di sini.
Pemasangan paip yang mengambil masa tiga bulan itu bakal menyalurkan empat juta gelen air terawat sehari kepada hampir 10,000 akaun pengguna di kedua-dua daerah ini bermula Mei lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Saluran Paip Air Baru dengan membuka injap paip tersebut sebagai simbolik berakhirnya catuan air di kedua-dua daerah. Upacara perasmian ini sekaligus ia menghentikan pembelian air terawat dari Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) sejak Mac lalu yang berakhir Mei 2015.
Menteri Besar di dalam ucapan menjelaskan bahawa, pemasangan saluran paip dilakukan disebabkan usaha pembenihan awan yang dibuat tidak memberi kesan ke atas kenaikan paras air di Empangan Gemencheh.
“SAINS terpaksa melaksanakan pemasangan paip ini bagi membekalkan air terawat dari LRA Sawah Raja Fasa 1 ke kawasan Rembau dan Tampin.
“Dengan adanya penyambungan jajaran paip baru ke paip asal (jajaran dari LRA Gemencheh), maka para pengguna di kawasan berkenaan dijangka tidak lagi menghadapi masalah catuan terutama menjelang kedatangan Ramadan dan seterusnya pada musim perayaan,” katanya.
Di majlis sama, Menteri Besar turut menyampaikan sumbangan sempena kedatangan Ramadan kepada 100 penerima golongan OKU dan warga emas dari Kampung Astana Raja.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, YB Dato’ Dr Awaluddin Hj Said; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Kawasan Chembong, Dato’ Saifulbahari Idris dan ADUN Kawasan Paroi, Tuan Mohd Ghazali Hj Wahid.
Oleh : Dudi Aziz
Blogger Comment
Facebook Comment