PORT DICKSON, 20 Mei – Mengikut unjuran kedatangan pelancong pada 2014, daripada lebih 5,000 pelancong yang datang ke Negeri Sembilan, kira-kira 70 peratus telah berkunjung ke Port Dickson yang terkenal sebagai sebuah tempat peranginan di negara ini kerana mempunyai pantai yang cantik, indah dan aman.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan mencadangkan agar kesemua operator yang terlibat dalam bidang pelancongan supaya mengadakan kerjasama Smart Parnership bagi memperkenalkan produk pelancongan tempatan.
Untuk tujuan tersebut, pihak hotel boleh menjalankan aktiviti luar dengan mengambil produk-produk pelancongan yang terdapat di Negeri Sembilan dan meletakkannya di dalam pakej mereka. Misalnya, sebuah hotel mengambil satu atau dua produk pelancongan seperti melawat kelip-kelip di Sungai Linggi atau melihat rumah api di Tanjung Tuan.
“Cara ini dapat memanjangkan tempoh pelancong untuk tinggal lebih lama di Negeri Sembilan. Pada masa yang sama ia dapat menjana ekonomi negeri dan para peniaga tempatan dapat menambah jualan, manakala pelancong pula berpeluang melawat tempat-tempat yang menarik di negeri ini,” katanya dalam sidang media di Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson.
Idea pelancongan baru juga boleh diperkenalkan seperti menyediakan kabin kepada pelancong asing yang gemar menghirup udara segar dan menjalani kehidupan hutan tropika sebagaimana yang terdapat di Hutan Sungai Menyala yang mempunyai tanah pamah terbesar di Asia Tenggara.
Untuk tujuan ini, pihak hotel perlu bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan dan perlu ada kesepakatan untuk melaksanakannya. Sekurang-kurangnya Jabatan Perhutanan memperoleh pendapatan daripada pelancongan hutan tersebut dan secara langsung produk pelancongan dapat diperhebatkan.
Menurut beliau, teknik Cross-Selling atau jualan saling berkait ini sangat penting bagi menarik pelancong atau pelawat datang ke Negeri Sembilan. Bagaimanapun, para operator yang menjalankan aktiviti pelancongan juga perlu bekerja keras membuat jualan dan promosi agar ia diketahui umum.
Blogger Comment
Facebook Comment