NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Institut Penyelidikan dan Pengurusan Halal (IHRAM), hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Malaysia dan TPM Biotech Sdn Bhd (TPMB) bagi mewujudkan jalinan industri yang memberi manfaat berpanjangan.
MoA itu adalah bagi pembangunan modul program 'Analisis Halal Profesional' dalam program pemindahan ilmu.
USIM diwakili Naib Canselornya Prof. Datuk Dr Asma Ismail, HDC diwakili Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Hasni Zarina Mohamed Khan manakala TPMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Husni Johari.
HDC ialah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berperanan menyelaras pembangunan keseluruhan industri halal di Malaysia.
TPMB, anak syarikat Technology Park Malaysia & Corporation Sdn Bhd, merupakan institusi yang memperuntukkan tenaga dan sokongan pakar dalam perkhidmatannya untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan.
Asma berkata, melalui kerjasama ini, HDC dan TPMB berhasrat bekerjasama dengan USIM, sebagai rakan kongsi strategik, menggalakkan pembangunan industri halal di Malaysia, khususnya untuk mewujudkan platform perundingan halal, latihan, perdagangan dan ruang potensi lain pada masa akan datang.
"Selain memberi kesedaran berkaitan konsep halal kepada masyarakat dan industri, program tersebut turut berperanan menyalurkan pengetahuan halal melalui pelbagai saluran seperti berpandukan teori dan praktikal, pandangan dari sudut syariah, prosedur samak, analisis makmal serta meningkatkan pengetahuan dalam amalan halal dan pelaksanaan audit," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoA itu, di sini.
Katanya bertepatan hasrat untuk menjalankan pembangunan modul berkaitan persijilan halal, enam modul dihasilkan untuk program latihan yang bakal dijalankan selama 14 minggu.
"Berdasarkan industri halal yang bersifat kompleks dan holistik, USIM percaya pendekatan ini mampu mewujudkan peluang ekonomi yang luas dengan menggunakan pendekatan bersepadu selaras dengan hasrat dan visi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli (Wahyu) dan Aqli (Rasional) untuk mentransformasikan dan menghasilkan nilai kepada negara, ummah dan manusia sejagat," katanya.
Katanya USIM kini giat berusaha untuk menggerakkan dan mengaktifkan jalinan kerjasama dalam industri halal dengan pihak industri dan pelbagai organisasi terutama bagi tujuan penyelidikan dan inovasi, perkhidmatan serta pengkomersilan dan pertukaran serta perkongsian kepakaran agar kepakaran yang ada dapat dikongsi bersama ke tahap optimum demi kemajuan ummah. - Bernama
Blogger Comment
Facebook Comment