KUALA LUMPUR - Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) akan membangunkan hotel, pejabat dan pangsapuri perkhidmatan di KL Sentral bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion.Naib Presiden Kanan, Ketua Hartanah MRCB, Wong Dor Loke berkata, projek-projek yang melibatkan pembangunan di kawasan seluas 650,321 meter persegi itu sedang berjalan dan dijangka siap pada 2012.
''Ia merupakan projek pembangunan pelengkap KL Sentral yang memperlihatkan kemajuan dan kemudahan infrastruktur bertaraf antarabangsa,'' katanya selepas menghadiri lawatan projek ruang pejalan kaki KL Sentral di sini hari ini.
Hadir pada program lawatan itu ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Projek ruang pejalan kaki berbumbung dengan nilai pembangunan kasar RM15 juta itu dijangka siap pada 2012, namun sebahagiannya dijangka siap pada Julai tahun ini.
MRCB akan menyediakan ruang pejalan kaki berkenaan sejauh 350 meter yang menghubungkan stesen monorel dengan KL Sentral di atas tapak kompleks membeli belah Lot G yang sedang dibangunkan.
Apabila projek laluan pejalan kaki itu siap sepenuhnya, jarak perjalanan akan menjadi lebih dekat iaitu kira-kira 150 meter sahaja.
Ditanya mengenai projek lain yang dijalankan MRCB, Dor Loke berkata, pihaknya sekarang sedang membangunkan projek hartanah di Bandar Sri Iskandar di Perak, Kajang di Selangor dan Senawang di Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya menjalankan projek pembangunan perbandaran seluas 2,000 hektar di Perak, perindustrian di Senawang dan pangsapuri di Kajang.
Ditanya mengenai kesan pembangunan KL Sentral kepada kawasan sekitar seperti Brickfields, Naib Presiden Pembangunan Hartanah MRCB, Noorzimi Mohamad Rashidi berkata, nilai pembangunan di kawasan sekitar akan meningkat sehingga tujuh kali ganda berbanding sekarang.
Katanya, kawasan sekitar akan menikmati limpahan kemakmuran yang dicetuskan oleh MRCB melalui projek KL Sentral.
Menurut Noorzimi, kepadatan penduduk akan meningkat termasuk di kawasan sekitar, manakala di KL Sentral akan menyaksikan bilangan penduduk seramai 40,000 orang pada 2015.
''Selain tempat penginapan, kami turut merancang tempat letak kereta yang banyak di KL Sentral. Sehingga 2015, sebanyak 17,000 tempat letak kereta akan disediakan di dalam kawasan KL Sentral,'' ujarnya.
Ong Tee Keat (kiri) mendengar penjelasan perkembangan terkini projek ruang pejalan kaki KL Sentral daripada Wong Dor Loke di tapak projek di Kuala Lumpur |
Blogger Comment
Facebook Comment