KERA: Mengatasi Konflik Hidupan Liar-Manusia


DALAM kerancakan pembangunan di Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri memandang masalah hidupan liar sebagai perkara yang perlu diambil perhatian kerana kehadiran mereka turut menganggu hasil tanaman dan ketenteraman rakyat.

Kera atau Macaca fascicularis adalah salah satu spesies hidupan liar yang sering menimbulkan konflik dengan manusia terutamanya di pinggir-pinggir bandar. Kehilangan habitat akibat pembangunan kawasan hutan serta tahap kemandirian serta kadar pembiakan yang tinggi adalah antara faktor menyumbang kepada permasalahan ini.

Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini bercadang untuk mengarahkan satu jawatankuasa bersepadu daripada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi menangani masalah kacau-ganggu binatang liar.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, kehadiran binatang-binatang liar yang berkeliaran di kawasan-kawasan pinggir bandar ini didapati telah mendatangkan masalah dan kemudaratan kepada masyarakat. Malah, hal ini banyak dilaporkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di negeri ini.

Konflik manusia-kera adalah aduan tertinggi yang diterima Jabatan PERHILITAN setiap tahun berbanding dengan hidupan liar yang lain.

Sepanjang 2015 terdapat sebanyak 19 aduan susulan gangguan kera melibatkan sebanyak 65 ekor kera berjaya dilupuskan. Sehingga Februari 2016, sebanyak tujuh aduan susulan diterima dari penduduk kawasan Linggi dan 11 ekor kera berjaya dilupuskan.

Jabatan PERHILITAN bertanggungjawab bagi mengatasi atau mengurangkan masalah gangguan konflik hidupan liar-manusia dengan mengambil tindakan ke atas aduan gangguan hidupan liar yang berlaku di kawasan penempatan penduduk awam.

Menurut Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Dato’ Haji Hasim Rusdi di Negeri Sembilan tindakan secara NBOS telah dilakukan mengikut keutamaan kawasan-kawasan kritikal bagi mengatasi masalah kera.

Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan PERHILITAN dalam mengambil tindakan ke atas aduan gangguan hidupan liar adalah seperti berikut:

i.         Sebaik sahaja aduan gangguan kera diterima, siasatan akan dibuat bagi menentukan jenis tindakan yang paling sesuai dijalankan di samping menentukan sama ada aduan tersebut berasas atau tidak.

ii.        Sekiranya aduan berasas, tindakan pemasangan perangkap dijalankan untuk mengurangkan jumlah populasi kera yang bermasalah dengan menangkap dan memindahkan ke satu habitat baharu yang lebih sesuai.

iii.       Selain itu, proses khidmat nasihat juga akan diberikan kepada pengadu dengan menerangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menelak dan menrurangkan risiko gangguan kera seperti menutup tingkap, pintu, gril dan menghalang kanak-kanak bermain di luar berseorangan serta tidak memberi makan kepada kera-kera ini.

Aduan berkaitan gangguan hidupan liar boleh dibuat melalui:

1.      Telefon
-          Pejabat PERHILITAN Negeri – 06-7616998/06-7674752
      Unit Pengurusan Hidupan Liar – 019-3889302
-          Careline 1-300-80-1010
-          Hotline 1-800-88-5151

2.      Emel – webmaster@wildlife.gov.my atau nsembilan@wildlife.gov.my 

3.      e-Aduan menerusi laman web: www.wildife.gov.my

4.      Facebook: Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment