Elak Fungsi Balai Raya Terjejas, Tabika KEMAS Perlu Bina Bangunan atau Sewa



PEMBUKAAN Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika KEMAS) di kawasan luar bandar bertujuan untuk memberi peluang kepada anak-anak untuk menikmati proses pendidikan awal sebelum memasuki alam persekolahan formal.

Di Negeri Sembilan, penggunaan balai raya sebagai Tabika KEMAS adalah selepas mendapat persetujuan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan masyarakat setempat dengan matlamat untuk memaksimumkan penggunaan premis berkenaan.

Bagaimanapun, pada ketika ini terdapat sesetengah masyarakat yang berpendapat bahawa kehadiran Tabika KEMAS ini menyebabkan JKKK dan badan-badan lain tidak dapat menjalankan aktiviti di balai raya.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, pihak KEMAS dari semasa ke semasa telah membina bangunan sendiri. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada peruntukan serta kesesuaian tapak yang ada dan telah mendapat hak milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Tabika KEMAS di Negeri Sembilan pada ketika ini beroperasi di tiga jenis premis iaitu bangunan sendiri 156 premis; bangunan tumpang, 176 premis dan bangunan sewa, 42 premis.

Katanya, bagi mengatasi masalah Tabika KEMAS menumpang di balai raya, pihak jabatan boleh menyewa premis yang bersesuaian dan menepati kriteria yang ditetapkan bagi membolehkan proses pendidikan awal kepada anak-anak di luar bandar tidak terjejas walaupun tidak memiliki bangunan sendiri.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment