Usaha Berterusan Tonjolkan Ciri Unik Negeri Sembilan


MENGGALAKKAN pelancong tinggal lebih di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan adalah strategi dalam industri pelancongan negara. Sehubungan itu, di peringkat negeri lebih banyak ciri-ciri unik yang terdapat di Negeri Sembilan cuba diketengahkan di samping meneruskan usaha menganjurkan pelbagai acara pelancongan yang mampu menarik perhatian antarabangsa.

Perkara berikut dinyatakan Pengarah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Negeri Sembilan, Muhammad Aiza Zamrose. Jelasnya, dengan mensasarkan jumlah pelancong melebihi lima juta setiap tahun, Kementerian Pelancongan sentiasa berusaha menjalinkan kerjasama dengan penggiat industri pelancongan tempatan untuk menambah mutu perkhidmatan pelancongan sekaligus melonjakkan pertumbuhan industri ini.

“Kerajaan negeri Sembilan sentiasa bersedia untuk menerima kedatangan pelancong dan meletakkan keutamaan memelihara aset pelancongan yang sedia ada.

“Antara produk menarik Negeri Sembilan termasuklah Pantai Telok Kemang dan Blue Lagoon di Port Dickson yang terkenal dengan keindahannya. Selain itu, pelancong boleh berkunjung ke Muzium Diraja Seri Menanti, Muzium Tentera, Muzium Lukut dan Kompleks Muzium Negeri yang mempamerkan sejarah dan keunikan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika ingin berekreasi pula, pelancong boleh ke Ulu Bendul atau menikmati keindahan alam semulajadi menaiki cruise di sepanjang Sungai Timun di Rembau. Jika ingin merasai suasana kampung di Negeri Sembilan, pelancong boleh menginap di homestay-homestay yang terdapat di sini seperti Homestay Lonek, Pachitan dan Rawa.

Beliau mengakui beberapa nahas membabitkan pesawat negara kebelakangan ini sedikit sebanyak menjejaskan jumlah kehadiran pelancong dari Negara China. Namun demikian, bagi menangani perkara tersebut kementerian telah mengubah fokus kepada kemasukan pelancong dari negara Eropah dan Arab.

Katanya lagi, acara-acara pelancongan dan kebudayaan yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan agensi-agensi di bawah Kerajaan Negeri mampu menjadi tarikan untuk mencapai sasaran pelancong sama ada tempatan mahupun antarabangsa ke Negeri Sembilan.

“Pihak kementerian berharap agar industri pelancongan akan terus berkembang dan menjadi industri yang penting dalam menjana ekonomi negara,” katanya mengakhiri.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment