Sekolah Swasta Terbesar di Negeri Sembilan Dirasmikan


BANDAR SRI SENDAYAN, 28 JULAI – Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan pagi ini mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin bagi merasmikan Sekolah Global Matrix (GMS) dan Earth Pyramid Incubation Centre di Bandar Sri Sendayan, Seremban.
Dengan jangkaan boleh menampung seramai 2,500 pelajar dalam tempoh lima tahun akan datang, sekolah ini dianggap sebagai sekolah swasta terbesar di Negeri Sembilan dan mungkin juga terbesar di Malaysia.
Menurut Menteri Besar dalam ucapannya, penubuhan Sekolah Global Matrix ini adalah modal jangka panjang untuk melahirkan modal insan yang lebih cemerlang selaras dengan dasar Kerajaan Negeri menjadikan Negeri Sembilan sebagai negeri Lembah Ilmu. Malah, dengan wujudnya institusi ilmu seperti ini maka Negeri Sembilan pada masa hadapan diharapkan tidak lagi bergantung kepada tenaga mahir daripada luar.
“Tiada guna kita bangunkan negara kita tetapi di masa hadapan kita terpaksa bergantung terus menerus kepada tenaga mahir dari luar negara.
“Saya berharap supaya hasrat dan cita-cita untuk mengadakan modal insan yang baik dan cemerlang di mana boleh berdiri sama tinggi duduk sama rendah bukan sahaja dapat bersaing sesama rakyat Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Rekabentuk Sekolah Berkonsep Kolonial
Penubuhan sekolah kebangsaan dan antarabangsa swasta yang dikendalikan oleh Matrix Global Education Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) ini sudah semestinya menjadi penanda aras kesediaannya mencipta nama dalam pelbagai cabang pendidikan bertaraf antarabangsa dan berkualiti.
Dibina pada tapak berkeluasan 20 ekar, institusi ini didirikan dengan reka bentuk berkonsepkan kolonial iaitu sekolah berasrama British dengan gabungan Ellesemere College di United Kingdom yang berusia 130 tahun.
Menteri Besar berharap agar kewujudan sekolah ini dapat memberikan peluang yang lebih besar kepada rakyat Malaysia dalam bidang pendidikan dan seterusnya  meningkatkan kemajuan Negeri Sembilan.
Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Dato’ Dr Haji Awaludin Said; Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dato’ Haji Khairil Haji Awang; Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengetua Matrix Global Schools, Felix Lee Eng Boon dan Ketua Sekolah Rendah Antarabangsa Matrix dan EPIC, Charline Evans.
Oleh: NURUL NADIA ROSLAN
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment