Central Park di MVV Setanding London, New York dan Paris


SEREMBAN: Negeri Sembilan akan mempunyai Central Park sendiri sebagaimana yang terdapat di bandar-bandar utama dunia seperti London, New York dan Paris.

Taman seluas 400 hektar akan membentuk sebahagian penting daripada Malaysia Vision Valley (MVV), sebuah projek 108,000 hektar bernilai berbilion ringgit yang akan dilaksanakan dalam tempoh 30 tahun akan datang bermula pada tahun hadapan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan berkata, Central Park akan menjadi tempat orang ramai menjalankan aktiviti riadah seperti berjogging, bersenam dan berbasikal.

Persekitaran taman pula akan ditanam dengan pokok-pokok hijau bagi mengekalkan persekitaran yang sihat.

"Ia akan menjadi kawasan hijau di mana orang ramai boleh berjalan-jalan dan menikmati persekitaran yang sihat," ujarnya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri.

Mohamad berkata, walaupun mempunyai Central Park, pemaju masih diperlukan untuk menyediakan ruang-ruang taman kecil dalam setiap projek pembangunan yang mereka jalankan. Sebagai contoh, dalam pembangunan 40 hektar, sebanyak empat hektar mesti diperuntukkan untuk taman rekreasi dan empat hektar lagi untuk kemudahan lain.

Walau bagaimanapun, kawasan Central Park yang berada dalam pembangunan MVV Mohamad belum diputuskan lagi sama ada dibina di kawasan Nilai, Seremban atau Port Dickson.

Mohamad berkata, beliau akan memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak berkaitan pembangunan MVV yang akan diterajui oleh sektor swasta pada 10 Julai nanti.

"MVV akan menjadi projek pembangunan besar-besaran yang lengkap dengan pembangunan prasarana seperti perkhidmatan keretapi laju dan lingkaran jalan raya baru yang serba lengkap dan memberi kemudahan kepada masyarakat untuk bergerak. Terdapat beberapa kluster yang akan dibangunkan termasuklah kluster, pendidikan, sukan dan perindustrian.

"Dalam pelan pembangunan dan pemodenan Negeri Sembilan, MVV ialah pembinaan sebuah ‘bandaraya tahun 3,000’. Kami merancang membina sebuah bandar yang akan menyaingi Kuala Lumpur dan menjadi tempat yang lebih baik untuk didiami," jelasnya.

Katanya, di MVV syarikat mutlinational yang melabur di kluster perindustrian juga digalakkan untuk membina kampus bagi tujuan menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta program-program latihan.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment