Malaysia Vision Valley Bakal Mengubah Lanskap Negeri Sembilan



SEREMBAN, 21 Mei - Pertumbuhan ekonomi baharu dalam rancangan pembangunan moden terancang, Malaysian Vision Valley (MVV) di barat Negeri Sembilan bakal disaksikan apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakannya dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) semalam.

Ia adalah satu pembangunan holistik melibatkan keluasan tanah 1,800 ekar (108,000 hektar) dari Nilai, Seremban hingga ke Port Dickson dalam usaha Kerajaan Negeri dengan Persekutuan agar pembangunan menyempit di Lembah Klang dapat diperluaskan ke negeri ini di bawah gugusan Lembah Klang (Greater Klang Valley).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, MVV adalah cadangan pembesaran wilayah Lembah Klang (Kuala Lumpur). Ini kerana Kuala Lumpur sudah terlalu padat dan sesak sehingga kerajaan terpaksa mengadakan pelbagai infrastruktur dengan kos yang tinggi kerana hartanah, operasi dan sebagainya yang semakin meningkat.

"MVV akan bermula pada tahun hadapan dengan jangkamasa pelaksanaannya sehingga tahun 2045. Nilai pembangunan kasar (GDV) projek ini dianggarkan berjumlah RM641 bilion, yang juga akan menyaksikan penambahan sebanyak 3.5 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK),” kata Mohamad kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara Klana Resort Seremban semalam.

Tambahnya, pembangunan MVV dilakukan dengan kerjasama pemacu swasta yang mengumpulkan beberapa pemilik tanah, ladang mahupun estet dan diadakan pelan induk untuk satu pembangunan bandar yang besar. Konsepnya jelas berbeza dengan pembangunan wilayah yang lain.
Di bawah MVV itu kelak akan terdapat lima kluster pembangunan iaitu bandar Seremban diletakkan sebagai pusat bandar dan perniagaan manakala Nilai, Enstek dan Sendayan sebagai bandar pendidikan dan sukan.

“Satu kawasan baharu seluas 6,100 ekar (2,468.582 hektar) diperuntukkan bagi pembangunan sektor industri. Akan diwujudkan dikategorikan mengikut sektor seperti industri pemakanan dan elektronik yang ada pencemaran sedikit dan lain-lain. Kita tidak akan mencampurkan industri dalam MVV ini.

“Di kawasan Jimah dan Rantau pula, satu lagi kluster iaitu pembangunan kediaman mampu milik dan di kawasan Gala (Mantin) dikenal pasti sebagai satu kawasan lapang seluas 1,000 ekar (404.686 hektar) bagi tujuan pembangunan Sentral Lembah Klang untuk kegunaan rakyat,” katanya.

Mohamad berkata, di bawah MVV ini kerajaan Pusat akan membantu untuk membangunkan infrastruktur.

"Pelbagai infrastruktur termasuk lebuh raya dan jalan raya baharu akan dibina termasuklah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Senawang dan ke Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), begitu juga lebuh raya dari KLIA ke Port Dickson,” ujarnya.

Dalam MVV juga, satu `jalan yang hilang' dari Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) ke Lekas akan disambung dengan satu penyambungan akan dibina di Labu, selepas pekan Nilai dan dari situ akan disambung terus ke KLIA.

“Kita akan ada Pembangunan Berorientasikan Pengangkutan (TOD) di satu kawasan baharu. Turut dirancang kelak ialah kereta api laju Express Rail Link (ERL) yang tidak berhenti di stesen Seremban, tetapi di stesen baharu Labu dan dari situ dipanjangkan ke KLIA. Boleh jadi ERL itu disambung dari KLIA ke Port Dickson,” katanya.

Dalam pada yang sama juga kata Mohamad, jalan kereta api yang tidak berfungsi dari Seremban ke Port Dickson akan dibangunkan semula, selain pembesaran jalan dari Sepang, Lukut dan Port Dickson.

“Apa yang penting dalam MVV ini tidak ada sebarang perpindahan penduduk dan pengambilan balik tanah. Jika ada pengambilan tanah, itu pun sedikit untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan raya baharu. Tanah yang dibangunkan itu adalah milik beberapa syarikat dan menjadi satu konsortium untuk pembangunan bersepadu,” tambahnya.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment