KUALA LUMPUR – Tanggal 17 Oktober 2017 telah tercipta satu
sejarah apabila tujuh konsep reka bentuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura dilancarkan oleh Perdana
Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bertempat di Malaysia
International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato' Seri Utama Haji
Mohamad Haji Hasan turut hadir bagi menyaksikan peristiwa penting dan
bersejarah apabila reka bentuk dan rupa stesen-stesen dalam jajaran Kuala
Lumpur-Singapura dilancarkan.
Majlis pelancaran reka bentuk yang
diberi nama 'MyStations-Transforming Malaysia' itu, MyHSR Corporation
memperkenalkan reka bentuk konsep seni bina untuk semua tujuh stesen Kuala
Lumpur-Singapura di Malaysia termasuk Bandar Malaysia, Bangi-Putrajaya,
Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Dalam
mewujudkan prasarana termoden yang menghubungkan bandar-bandar moden di
Malaysia, pembinaan stesen HSR Kuala Lumpur-Singapura adalah satu wawasan dan
elemen yang sama penting bagi memacu Malaysia ke arah mencapai aspirasi
Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Reka bentuk setiap stesen dikonseptualisasikan untuk
mencerminkan bukan sahaja pelbagai warisan, budaya dan identiti setiap bandar
di sepanjang koridor HSR tetapi juga
menunjukkan wawasan pertumbuhan yang akan dicapai menerusi projek ini.
Menurut Perdana Menteri, setiap daripada
tujuh stesen di Malaysia itu adalah berdasarkan kajian meluas berserta usaha
yang bukan sedikit dengan reka bentuknya bukan sahaja mengetengahkan elemen
unik setiap bandar raya tetapi juga kreativiti dan inovasi tatkala negara
menuju masa depan.
Pasukan pereka bentuk mengambil pendekatan perjalanan (MYJourney) dan
mengaplikasikan tujuh tema utama iaitu MYGateway, MYPeople, MYVision,
MYHeritage, MYFuture, MYCulture dan MYEncounter pada setiap daripada tujuh
stesen di sepanjang laluan.
Setiap stesen direka dengan mengekalkan cerminan identiti dan warisan
Malaysia yang ketara sambil pada masa sama berciri moden dan futuristik.
Stesen Bandar Malaysia
Stesen Bandar
Malaysia di Kuala Lumpur adalah stesen yang pertama yang memperlihatkan reka
bentuk daripada terjemahan semula pertembungan Sungai Klang dan Gombak iaitu
simbolik perpaduan semua lapisan masyarakat.
Stesen Bangi-Putrajaya
Bagi
stesen Bangi-Putrajaya yang terletak di sempadan Selangor dan Putrajaya, reka
bentuknya dipengaruhi ciri-ciri seni bina Islam manakala stesen Seremban direka
bentuk berdasarkan keagungan Istana Seri Menanti serta kehijauan hutan tropika
Lembah Wawasan Malaysia.
Stesen Seremban
Stesen
Seremban direka daripada ilham daripada kemegahan Istana Diraja Seri Menanti
dan kehijauan tropika yang rimbun dalam Malaysia Vision Valley (MVV).
Stesen Melaka
Stesen Melaka
pula diinspirasikan daripada sejarah Melaka sebagai pelabuhan perdagangan
strategik pada zaman kegemilangannya dengan memberikan imej kapal dagang,
simbol semangat keusahawanan masyarakat setempat.
Stesen Muar
Di selatan
negeri Johor, stesen Muar mencerminkan kekayaan elemen kebudayaan Melayu dan
diinspirasikan oleh rehal yang lazimnya digunakan untuk meletakkan al-Quran
ketika pelajar belajar membacanya.
Reka bentuk itu merupakan simbol akan kepentingan pembelajaran yang
ditanam dalam kebudayaan kita sejak sekian lama dan terus menjadi tonggak
identiti kita sekarang dan pada masa depan.
Stesen Batu Pahat
Seterusnya
stesen Batu Pahat diinspirasikan oleh kuda kepang yang memberi keseimbangan
antara warisan dan pemodenan.
Stesen Iskandar Puteri
Stesen
Iskandar Puteri diinspirasikan menerusi representasi berjabat tangan,
menunjukkan peranan bandar itu sebagai bandar raya serantau untuk perdagangan
bagi menjalankan perniagaan pada masa depan serta pertemuan antarabangsa,
digabungkan dengan daya tarikan dan kemesraan Malaysia.
Menurut Perdana Menteri, majlis ini
menjadi penanda aras penting dalam perjalanan membina satu lagi mercu tanda dan
projek ikonik yang bakal memberi impak besar kepada ekonomi tanah air dan
kesejahteraan rakyat.
Jelasnya lagi, Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah
memperlihatkan sebanyak 2.26 juta peluang pekerjaan yang dicipta di negara ini
sejak enam tahun lalu, di samping mengekalkan inflasi yang rendah pengangguran
walaupun keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Projek HSR Kuala
Lumpur-Singapura yang akan memulakan operasi pada 2026 dijangka akan
memangkin pertumbuhan sosio ekonomi kedua-dua negara di samping mewujudkan
peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih banyak bagi rakyat.
Terdahulu, pada 13 Disember 2016 Malaysia-Singapura telah
menandatangani perjanjian dua hala mengenai projek ini di Putrajaya.
HSR KL-Singapura adalah projek strategik antara kerajaan Malaysia dan Singapura
yang bertujuan untuk memendekkan masa perjalanan 90 minit antara Kuala Lumpur
dan Singapura.
Projek ini dijangka dapat meningkatkan jaringan
perniagaan dan mendekatkan hubungan antara kedua-dua negara.
Projek
HSR KL-Singapura ini dijangka akan memulakan operasi pada 2026 dan dipercayai
dapat memangkin pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia dan Singapura sambil mewujudkan
peluang pelaburan dan pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat di negara ini.
Blogger Comment
Facebook Comment