SEREMBAN –
Memandangkan sambutan dan permintaan yang tinggi terhadap Rumah Mampu Milik
Kategori A yang berharga RM80,000 ke bawah, Kerajaan Negeri Sembilan bercadang
untuk meminda Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) yang mula dilaksanakan
pada tahun 2015.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji
Hasan berkata, pindaan tersebut membabitkan Rumah Mampu Milik Kategori A berharga
RM80,000 ke bawah yang dinaikkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus,
Kategori B berharga RM250,000 ke bawah kekal kepada 15 peratus dan Kategori C yang
berharga RM400,000 ke bawah diturunkan daripada 20 peratus kepada 15 peratus.
Pindaan menurunkan Rumah Mampu Milik Kategori C adalah
bagi mengimbangi pemilikan berikutan permintaan yang kurang menggalakkan.
Sehubungan itu, Menteri Besar telah meminta supaya
diadakan perundingan semula dengan pemaju perumahan dan semua pihak yang
terlibat.
Apabila dilaksanakan kelak, ini bermakna rumah yang
berharga RM80,000 akan lebih banyak dibina bagi memenuhi permintaan rakyat dan memastikan
Rumah Mampu Milik benar-benar mampu dilimiliki oleh orang ramai.
Menurut Menteri Besar, pindaan ini dilakukan apabila
mendapati daripada 100 unit Rumah Mampu Milik yang ditawarkan dalam pembangunan
perumahan Rumah Mampu Milik di Sunggala, Port Dickson, terdapat beribu-ribu
jumlah permohonan bagi rumah kategori ini.
Situasi ini menunjukkan bahawa Rumah Mampu Milik Kategori
A amat diminati dan mampu dibeli oleh kebanyakan lapisan masyarakat yang
berpendapatan RM3,500 ke bawah.
Jelasnya lagi, biarpun pemaju kurang profit keuntungan
daripada segi jualan tetapi pemaju jimat dari segi masa jualan dan pembinaan
yang lebih cepat kerana sudah sedia ada pembeli yang berdaftar di Unit
Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta tidak perlu mengeluarkan kos mengiklan.
“Saya
yakin pindaan ini akan mendatangkan kebaikan dan dapat memenuhi kehendak semua
orang. Dalam masa sama pemaju dapat menjual rumah dengan cepat dan kerajaan
dapat memastikan golongan yang berpendapatan rendah benar-benar dapat memiliki
rumah,” kata Menteri Besar mengakhiri.
Pemaju Salur Keuntungan Kepada Masyarakat
Menerusi perubahan
dasar ini, Menteri Besar mahu supaya pemaju perumahan memaksimumkan keuntungan
yang diperoleh untuk disalurkan semula kepada masyarakat dalam bentuk pembinaan
Rumah Mampu Milik yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau,
gelanggang futsal dan dewan.
Ini kerana harga
rumah yang melambung tinggi sudah sampai ke satu tahap yang di luar kemampuan
dan rakyat semakin gelisah.
Skim harga rumah DPNS
ini adalah mengikut kemampuan lapisan masyarakat dan pendapatan dan Kerajaan Negeri
Sembilan melalui Dasar Perumahan Negeri Sembilan telah melaksanakan pembinaan
rumah mampu milik kategori A, B dan C mengikut kelayakan pemohon.
Melalui dasar ini,
pemaju perumahan juga adalah diwajibkan membina 50 peratus daripada semua unit
yang dibina dalam bentuk rumah mampu milik kategori yang ditetapkan.
Setakat ini, telah banyak
unit rumah yang akan dan telah dibangunkan oleh Kerajaan Negeri Sembilan seperti
di Siliau Jaya (150 unit) dengan harga RM43,000, Tanah Merah (100 unit),
Chembong (450 unit) dan akan dibangunkan lagi di Labu serta Sendayan.
Blogger Comment
Facebook Comment