MBNS Perjelas Kekeliruan Tentang Keluasan RMM dan Kuota Bumiputera


Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) pada bulan Jun 2015 yang lalu dengan menetapkan 50 peratus daripada pembangunan mesti dibina Rumah Mampu Milik (RMM) yang berkeluasan 20x60 kaki persegi.

Komponen rumah mampu milik itu terdiri daripada 15 peratus rumah yang berharga RM80,000 ke bawah manakala 15 peratus lagi RM250,000 ke bawah dan 20 peratus RM400,000 ke bawah. Baki 50 peratus rumah yang hendak dibina terpulang kepada pemaju untuk menawarkan perumahan mewah.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, ramai yang keliru terhadap Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) yang telah dilancarkan pada Jun lalu dari segi keluasan dan kuota.

Menerusi DPNS Kerajaan Negeri Sembilan mewajibkan pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) bagi pembangunan baharu sebanyak 50 peratus dan tidak lagi pembinaan rumah kos rendah sebanyak 30 peratus dengan syarat RMM mestilah dibina di atas keluasan 20x60 kaki persegi.

 “Ramai yang kata 20x60 itu adalah keluasan tanah. Sebenarnya tidak, ia adalah ukuran rumah yang perlu dibina. Kawasan tanah itu terpulang kepada pihak berkuasa tempatan. Saya harap perkara ini jelas kepada semua kawasan pembangunan yang sudah diluluskan,” jelasnya.

Selain itu, bagi perancangan pembangunan sebelum Jun lalu yang mana diwajibkan membina rumah kos rendah sebanyak 30 peratus terpulang sama ada mereka mahu meneruskan atau menukar kepada RMM. Bagaimanapun, hanya dibenarkan pembinaan rumah Jenis A sahaja iaitu rumah yang berharga tidak melebihi RM80,000.

Silap Tafsiran Kuota 50 Peratus

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad turut mengakui bahawa terdapat ramai yang silap tafsiran terhadap 50 peratus kuota Bumiputera. Beliau menjelaskan pelaksanaan kuota ini adalah fleksibel, misalnya jika didapati tidak ada pembeli Bumiputera di sesebuah kawasan maka dasar tersebut boleh dibuat pengecualian sama ada diperkecilkan kuota atau sebaliknya.

“Cuma dulu orang silap tafsiran dengan kuota Bumiputera 50 peratus. Sebenarnya kita beri pengecualian pada tempat yang tidak ada pembeli baru. Dalam membentuk dasar, kita tidak boleh kata di sini 50 peratus dan di sana 30 peratus. Kerajaan sangat fleksibel, kita perkecilkan kuota jika berlaku demikian kemungkinan selepas diiklankan tidak ada pembeli Bumiputera. Maka kita benarkan kuota diperkecilkan.

“Misalnya pembangunan usahasama dengan Yayasan Negeri Sembilan di Bandar Sunggala, 95 peratus pembeli adalah Bumiputera. Sebenarnya kuota itu adalah garis panduan sahaja,” ujarnya.

Menurutnya Menteri Besar, pasaran sangat berpuas hati terhadap perubahan ini kerana ia adalah situasi menang-menang yang mana kerajaan boleh membekalkan rumah kepada orang ramai dan orang ramai gembira. Pemaju pula berasa lega kerana mereka tidak lagi perlu membina rumah kos rendah yang kurang memberikan pulangan kepada mereka. Bagi masyarakat pula, mereka juga tidak mahu tinggal di rumah satu bilik kerana ia tidak lagi kondusif untuk membina keluarga.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment