Rumah Mampu Milik Atasi Belenggu Kenaikan Harga Rumah


Oleh SALAWATI HARIS

IKLAN rumah tidak kira apartment, kondominium apatah lagi teres dan banglo hanya dapat dipandang justeru kenaikannya yang melambung tinggi dan tidak masuk akal. 

Gerun melihat harganya yang melampau dan jika dihitung, sudah pasti tidak termampu untuk membuat bayaran bulanan ke bank. 

Apatah lagi apabila mencongak jumlah gaji yang diterima setiap bulan, kelulusan pembiayaan bank pun belum tentu lagi diperolehi. 

Pada tahun 2013 harga rumah di Malaysia dilaporkan naik secara mendadak sebanyak 30 peratus berbanding pada tahun sebelumnya dan kenaikannya naik dengan purata yang agak tinggi pada tahun-tahun 2014 dan 2015.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata generasi muda di negara ini bakal berhadapan kesukaran untuk memiliki rumah sendiri, di mana mereka terpaksa menyewa rumah sehingga ke akhir hayat kerana harga rumah yang  ‘cekik darah’.

Harga rumah yang melambung tinggi begitu membelenggu sebilangan besar rakyat Malaysia khususnya yang baru hendak membina keluarga, ditambah lagi purata gaji isi rumah masyarakat Malaysia kebanyakannya berada di bawah paras kemiskinan.

Pada ketika ini, bukan sahaja membeli rumah tidak mampu, hendak menyewa rumah pun sudah mahal. Sudahnya, rakyat marhaen hanya mampu menyewa di flat-flat dan apartment kos rendah. Itupun di bandar-bandar, sewaannya sudah mencecah angka RM600 ke atas.

Inilah dilema rakyat Malaysia hari ini khususnya mereka yang tinggal di bandar-bandar. Bukan itu sahaja, yang tinggal di pinggir bandar juga telah mula ‘kecut perut’ kerana harga hartanah di pinggir bandar juga semakin meningkat. 

Hakikatnya, rumah yang terlalu mahal ini bukan sahaja membimbangkan golongan berpendapatan rendah tetapi juga mereka yang berpendapatan sederhana.

Pada ketika ini di Negeri Sembilan kawasan pinggir bandar seperti Seremban, Senawang, Port Dickson dan di negeri-negeri yang lain turut menerima lampias kenaikan harga hartanah. 

Malah, agen-agen hartanah sentiasa menaikkan harga dan memanipulasikannya bagi mengaut keuntungan 'atas angin' daripada jualan.

Rumah Mampu Milik (RMM)

Rumah Mampu Milik (RMM) yang diperkenalkan menerusi Dasar Perumahan Negeri Sembilan (DPNS) oleh kerajaan Negeri Sembilan pada Jun lalu adalah penyelesaian kepada kemelut yang melanda masyarakat akibat kenaikan harga rumah. 

Apatah lagi dalam keadaan negeri Sembilan yang sedang merancang pembangunan pembesaran wilayahnya iaitu menerusi Malaysia Vision Valley (MVV) yang akan dimulakan pembangunannya pada tahun hadapan.

Ini bermakna menerusi DPNS harga rumah di Negeri Sembilan akan dikawal oleh Kerajaan Negeri dengan memastikan 500 unit daripada 1,000 unit rumah yang dibina, 15 peratus daripadanya mestilah berharga RM80,000 ke bawah (Rumah Mampu Milik Standard), 15 peratus lagi bernilai RM250,000 ke bawah (Rumah Mampu Milik Deluxe) dan 20 peratus lagi bernilai tidak melebihi RM400,000 (Rumah Mampu Milik Superior).

Keistimewaan rumah mampu milik ini selain harga, keluasannya juga dikawal oleh kerajaan iaitu Rumah Mampu Milik Standard dan Rumah Mampu Milik Deluxe berkeluasan sama iaitu 20×60 kaki persegi.

Perkara yang membezakan kedua-dua rumah jenis ini ialah daripada segi siapan binaan. Manakala Rumah Mampu Milik Superior berbeza sedikit iaitu berkeluasan 20×70 kaki persegi dengan siapan yang agak baik dan lengkap.

Selain itu, kuota Bumiputera untuk memiliki rumah juga akan dinaikkan daripada 30 peratus kepada 50 peratus dan semua pemaju perumahan perlu mengikuti syarat ini kecuali di kawasan-kawasan tertentu yang tidak akan dibeli oleh kaum Bumiputera.

RMM yang diperkenalkan ini bukan sahaja diharapkan dapat memenuhi keperluan rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah tetapi mengurangkan kebimbangan masyarakat tentang kenaikan hartanah yang semakin meningkat ketika ini.




Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment