Perkembangan KDNK Negeri Sembilan Bakal Cetus Impak Positif


Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara adalah salah satu cara untuk mengukur perkembangan ekonomi nasional. KDNK membawa maksud jumlah nilai pasaran keseluruhan barang dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu. Ia juga mengambil kira jumlah nilai yang dicampur pada setiap peringkat pengeluaran untuk barangan dan perkhidmatan terakhir yang dihasilkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu di dalam nilai wang.

Bagi Negeri Sembilan, jangkauan tahunan KDNK di ramal akan tumbuh sekitar 4.8% – 5.2% bagi tahun 2014 oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Namun yang sedemikian, hasil akhir penilaian KDNK Negeri Sembilan pada 31 Disember 2014 menunjukkan pertumbuhan ekonomi negeri ini mencapai tahap 5.5%, iaitu melebihi jangkaan asal.
Perkara ini merupakan satu petunjuk yang positif kerana aktiviti ekonomi negeri ini berupaya terus mengembang selaras dengan impian kerajaan negeri mahu menjadikan negeri ini sebuah negeri yang maju menjelang tahun 2018 atau selewat-lewatnya pada tahun 2019. Hal ini seiring dengan impian negara Malaysia untuk menjadi negara maju menjelang 2020.
Jika kerancakan ekonomi ini dapat diteruskan, Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dalam ucapannya di Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Sembilan Kali-40 Tahun 2015 yakin dan percaya bahawa Negeri Sembilan mampu mencapai impian seperti yang ditetapkan. Beliau juga berharap strategi pembangunan ekonomi yang diterapkan di negeri ini akan mencapai matlamatnya kelak dan memberi kebaikan kepada rakyat di negeri ini.
Negeri Sembilan sedang berada di landasan yang betul dan perlaksanaan yang teliti membantu kelancaran peningkatan KDNK negeri. Pendapatan per kapita negeri ini telah melebihi RM30,000 dan kerajaan negeri kini sedang berusaha melaksanakan pelbagai strategi pembangunan ekonomi untuk mencapai sasaran pendapatan per kapita negeri seterusnya iaitu sebanyak RM45,000. 
Malaysian Institute Of Ecomonic Researh (MIER) sebelum ini telah menjangkakan perkembangan ini akan mencapai kadar purata peningkatan seimbang sekurang-kurangnya 5.5% antara lingkungan tahun 2011 – 2020. Jika merujuk dari kajian dan penilaian yang dilakukan oleh pihak tersebut melalui pertumbuhan penduduk sekiranya mencapai 1.2 milion menjelang 2020, Negeri Sembilan mampu menjana pendapatan sehingga hampir RM60,000 perkapita pada tahun 2018.

Penjanaan pembangunan strategik di Negeri Sembilan berkembang begitu pesat merangkumi pelbagai sektor seperti pelancongan, perniagaan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan diikuti dengan sektor pembuatan yang menyumbang kepada 4.7% setiap tahun. 

Manakala kedudukan Negeri Sembilan yang hampir dengan Lembah Klang dan KLIA menjadikan negeri ini kawasan strategik untuk aktiviti pelaburan kerana para pekerja di dalam kawasan berkenaan akan beralih untuk tinggal di kawasan alternatif selain Kuala Lumpur yang sememangnya memerlukan kos sara hidup yang tinggi.

Namun begitu, disebalik kepesatan pembangunan ketara di Negeri Sembilan, pihak kerajaan negeri masih mengutamakan sektor pertanian sebagai antara sumber pendapatan utama negeri. Meskipun sektor ini menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dalam kadar yang sederhana, tetapi mempunyai potensi yang amat besar sebagai pengeluar makanan halal utama kerana hampir dengan ibu negara iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya. Selain itu, sektor herbal dan industri biotek pula boleh dikembangkan selari dengan dasar-dasar baru yang diketengahkan oleh kerajaan.

Lokasi Negeri Sembilan antara dua negeri yang pesat membangun seperti Melaka dan Selangor memberi kelebihan kepada pertumbuhan di negeri ini. Dengan kedudukan yang strategik dan pengstrukturan semula ekonomi di negeri ini kelak turut memberi perubahan peluang pekerjaan pada masa akan datang.

Sekurang-kurangnya, sebanyak 73,400 peluang pekerjaan diramalkan akan terbuka sekitar tahun 2010 – 2020. Penilaian ini adalah berdasarkan kemampuan Negeri Sembilan untuk menjadi peneraju bidang bio-teknologi, pusat penyelenggaraan aircraft berteknologi tinggi dan sebagai pusat logistik pengangkutan udara koridor Nilai-KLIA. Negeri Sembilan juga dilihat mampu membuka peluang kerjasama antara negeri dalam bidang cyber-corridor untuk penyelidikan industri, penumpuan kepada teknologi maklumat serta R&D.

Oleh yang sedemikian, lonjakan dan kerancakan aktiviti ekonomi negeri ini perlu terus konsisten tahun demi tahun agar impian ini dapat direalisasikan seawal tahun 2018 seperti yang ditetapkan Kerajan Negeri.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment