Kompleks MAINS 'Ikonik' Negeri Sembilan


Oleh SALAWATI HARIS

KOMPLEKS Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Kompleks MAINS) adalah sebuah projek pembangunan bercirikan Islamik yang menjadi simbol pentadbiran dan pengurusan Islam yang telus dan cekap.

Satu kebanggaan komplek ini apabila kalimah ‘Allah’ yang besar terpampang di dinding bangunan bahagian hadapan yang boleh dilihat dari pelbagai arah. 

Ia sebagai tanda kejayaan sebuah institusi Islam yang pertama di Malaysia mampu memiliki bangunan setinggi 18 tingkat yang gah pada pandangan mata kasar dengan pendapatan hasil perniagaan yang dijalankannya.

Teguhnya berdiri bangunan ini bukan terbina daripada hasil kutipan wang zakat sebaliknya menggunakan Dana Pelaburan MAINS, hasil daripada keuntungan projek kuari dan ladang milik MAINS.

Sebahagiannya pula mendapat pembiayaan pinjaman dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang dibayar semula menerusi sewaan institusi kewangan berkenaan di aras bawah kompleks berkenaan.

Kompleks MAINS berharga RM68 juta dibina dengan spesifikasi ukuran keluasan 280,000 kaki persegi, mempunyai 200 petak parkir tidak termasuk parkir tambahan hasil persefahaman dengan Hotel Royale Bintang yang berkedudukan berhampiran kompleks, bakal dirasmikan pada awal tahun hadapan.

Ciri-ciri perhiasan luaran seperti kubah, ayat-ayat al-Quran atau motif-motif geometri Islam yang ada dalam bangunan ini amat ideal kerana ia menekankan aspek universal, mampu menjadi rujukan para arkitek dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Negeri Sembilan.

“Bangunan ini adalah unik dan menjadi ‘ikonik’ Negeri Sembilan. Ia juga melambangkan ciri-ciri pembinaan Islam yang menjadi pusat sehenti untuk semua jabatan dan agensi yang bersangkut paut dengan pentadbiran agama Islam kecuali Jabatan Kehakiman Syariah yang telah mempunyai bangunannya sendiri di Bandar Baru Sendayan. 

"Perkara ini akan memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi terbabit,” ujar Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yang juga Pengerusi MAINS.

Pembangunan kompleks ini sewajarnya menjadi contoh kepada Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia dan menjadi kebanggaan seluruh rakyat beragama Islam di Negeri Sembilan. 

Pengoperasiannya kelak akan memusatkan pengurusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Negeri Sembilan di bawah satu bumbung iaitupejabat Baitulmal Negeri Sembilan, Pusat Zakat Negeri Sembilan, MAINS Holding, anak syarikat milik MAINS, Jabatan Mufti Negeri Sembilan dan sebahagian daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment