Negeri Sembilan Henti Buka Ladang Baru Untuk Mengimbangi Ekologi


Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa mengambil kira kepentingan ekologi bagi mengawal cuaca panas di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan menyatakan pendirian Kerajaan Negeri yang tidak akan membuka kawasan ladang baru bagi penanaman kelapa sawit.
Menteri Besar mengulas pertanyaan wartawan berkaitan ucapan Perdana Menteri dalam Program Ihya Ramadan bersama Warga Felda Peringkat Kebangsaan di Felda Pasoh 4, Jelebu pada 7 Julai lalu tentang usaha Felda sedang mencari kawasan ladang komersial baru bagi penanaman kelapa sawit untuk meningkatkan lagi pendapatannya.
“Kita tidak akan membuka kawasan ladang untuk penanaman kelapa sawit lagi kerana di Negeri Sembilan sudah mempunyai ladang kelapa sawit yang besar. Malah, Negeri Sembilan adalah negeri ketiga mempunyai ladang kelapa sawit terbesar selepas Pahang dan Johor,” ujarnya.
Menurut beliau, sudah cukup dengan ladang kelapa sawit yang diusahakan oleh Yayasan Negeri Sembilan (YNS) seluas 22,000 ekar bagi tujuan menjana pendidikan anak-anak Negeri Sembilan. Jika adapun kawasan tanah di Negeri Sembilan hanyalah kawasan cerun yang melebih 25 darjah dan tidak sesuai untuk tujuan pertanian.
“Dalam mesyuarat hari ini saya telah mengeluarkan satu arahan kepada Exco Pertanian yang bertanggungjawab untuk memulihkan tanah-tanah terbiar supaya tidak lagi membenarkan kawasan tanah paya dan tanah sawah dipulihkan untuk ditanam kelapa sawit kerana ia akan mengeringkan kawasan tanah tersebut,” jelasnya lagi.
Menurut Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, tanah lembab ini mempunyai banyak fungsi dalam mengimbangi sistem ekologi cuaca dan disebabkan itulah maka kerajaan negeri tidak menggalakkan orang ramai menanam kelapa sawit.
“Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri memikirkan agar tanah-tanah di Negeri Sembilan tidak menjadi kering kontang bagi mengambil kira kepentingan sistem ekologi. Justeru itu, tidak timbul soal bekerjasama dengan Felda atau memberikan Felda tanah untuk membuka kawasan tanaman sawit lagi,” tambahnya lagi.
Tanaman kelapa sawit memang membantu ekonomi negara tetapi menyebabkan kandungan air di kawasan ladang berkurangan dan mengeringkan kawasan sekitarnya termasuk sungai dan paya kerana ia banyak menyedut air.
Sebaliknya masyarakat digalakkan menanam tanaman kontan seperti sayur-sayuran. Namun demikian, tanah terbiar daratan dibenarkan untuk tujuan tersebut.
Oleh: SALAWATI HARIS/FARHAN AHMAD ZAKI
Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment