INFRASTRUKTUR digital, jalur lebar berkelajuan tinggi adalah
pemboleh kritikal yang menyokong pertumbuhan semua sektor ekonomi. Laporan International Telecommunication Union (ITU)
menganggarkan peningkatan penembusan jalur lebar sebanyak 10 peratus akan
menyumbang kepada peningkatan 0.7 mata peratusan kepada KDNK Malaysia.
Di peringkat negara, Malaysia telah berjaya
memasuki fasa baharu dalam pembangunan teknologi dan maklumat (ICT) dengan
Pembangunan Jalur Lebar BerkelajuanTinggi. Kerajaan telah
memperluas infrastruktur digital bagi meningkatkan penembusan jalur lebar
melalui pelaksanaan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) dan Jalur Lebar untuk
Orang Ramai (BBGP).
Justeru itu, Kerajaan Negeri Sembilan amat memandang ke
hadapan terhadap kemajuan dalam pembangunan jalur lebar di negeri ini.
Dalam pembangunan telekomunikasi, Negeri Sembilan akan terus
menerima ‘jump start’ ke kelajuan
jalur lebar 4G, tidak seperti kebiasaan dalam dasar ICT yang melaksanakan
secara berperingkat-peringkat bermula dari 2G, 3G dan kemudiannya ke 4G.
Internet berkelajuan tinggi membolehkan penggunaan ICT
dipergiatkan lagi dalam pelbagai bidang bisnes, menjimatkan masa dan kos
operasi sekaligus meningkatkan keberkesanan komunikasi.
Tambahan lagi, aspek keterhubungan mampu memberikan maklumat
berharga dalam membuat sebarang keputusan perniagaan dengan adanya ‘dashboard’
atau analitik Data Besar (Big Data) yang boleh menganalisis tingkah laku
pelanggan dan untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan ketangkasan
syarikat untuk bertindak balas mengikut peredaran arus pasaran.
Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji
Mohamad Haji Hasan mempunyai visi yang sangat besar dan berpandangan jauh
terkehadapan. Beliau berpendapat, kehadiran jalur lebar sangat penting bagi
sebuah negeri yang ingin maju kerana ia dapat membantu kemasukan pelabur dan
pada masa sama ia membantu pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan lebih
drastik tanpa sebarang kekangan.
Kurang selesa dengan tahap kemajuan telekomunikasi di Negeri
Sembilan dan demi memikirkan keupayaan jalur lebar yang tinggi dapat melancarkan
pembangunan negeri serta mampu menarik pelabur ke Negeri Sembilan, pelbagai
usaha sedang dilakukan Kerajaan Negeri untuk mempertingkat keupayaan jalur
lebar.
Di peringkat negeri, Kerajaan Negeri Sembilan sudah memutuskan
untuk mengambil alih ‘One Stop Agency’ (OSA) daripada Syarikat
Rangkaian Minang (NS) Sdn Bhd (RMNS).
OSA bertanggungjawab bagi penyelarasan dan penyediaan pembinaan
menara telekomunikasi mematuhi garis panduan kerajaan.
Namun begitu, Menteri Besar memberitahu bahawa RMNS akan terus
diberikan status sebagai ‘State Backed Company’ (SBC) yang
berperanan menyediakan struktur telekomunikasi untuk memastikan liputan selular
menyeluruh di seluruh Negeri Sembilan.
Selain itu, sebuah lagi syarikat yang mempunyai rekod prestasi dan
kewangan yang baik telah diluluskan permohonannya untuk bersama-sama menjayakan
dasar memperkasakan segera jaringan jalur lebar di Negeri Sembilan.
Perkara ini dijangka akan mengwujudkan satu persaingan yang sihat
antara dua syarikat yang mana kedua-duanya SBC yang akan menjalankan operasi
untuk memperkasakan terus jaringan jalur lebar.
Antara usaha lain, Kerajaan Negeri turut mewujudkan satu kumpulan
audit bagi menjalankan audit telco yang berada di negeri ini. Perkara ini
adalah untuk memastikan tidak ada lagi penggunaan peralatan telekomunikasi
terpakai dipasang di Negeri Sembilan.
Blogger Comment
Facebook Comment