Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045

DRAF Rancangan Struktur Negeri Sembilan (RSNS 2045) adalah sebuah dokumen yang menggariskan pembangunan Negeri Sembilan menjelang tahun 2045.
Pembangunan yang dirancangkan adalah berasaskan kepada tiga teras iaitu Malaysia Vision Valley (MVV), Agropolis dan Biodiversiti.
MVV akan melibatkan pembangunan di Nilai, Seremban dan Port Dickson. Agropolis pula membabitkan Rembau, Jempol, Tampin dan Kuala Pilah. Sementara Biodiversiti hanya melibatkan Jelebu. Setiap daerah akan dibangunkan mengikut potensi masing-masing berasaskan sumber yang ada.
Dalam memacu pembangunan moden Negeri Sembilan menjelang tahun 2045, matlamat pembangunan yang ditetapkan adalah ‘Negeri Sembilan Sejahtera, Inklusif dan Mampan’.

Matlamat ini bersesuaian untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang mempunyai perancangan guna tanah, kecekapan perkhidmatan sosial, taraf sivik penduduk, kemudahan masyarakat, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti serta setaraf dengan perletakannya yang bersebelahan dengan Konurbasi Kuala Lumpur.

Negeri Sembilan juga menekankan kepada pembangunan modal insan dalam aspek pendidikan, program-program keilmuan, keagamaan, warisan dan budaya madani bagi menyokong kepada pembentukan negeri berilmu. Pemeliharaan dan pengurusan alam sekitar juga ditekankan sebagai biodiversiti semula jadi Negeri Sembilan.

RSNS 2045 adalah kajian semula RSNS 2001-2020. Ia juga suatu pernyataan bertulis yang menerangkan dasar dan cadangan am Pihak Berkuasa Negeri (PBN) berkenaan pemajuan dan penggunaan tanah sesebuah negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan telah merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 (RSNS 2045) bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Seremban pada 15 Ogos 2016 lalu.

Orang awam diberi masa selama dua bulan (15 Ogos- 07 September) untuk membuat bantahan serta memberikan idea dan pandangan terhadap dokumen tersebut.

Konsep Pembangunan MVV

MVV yang diinspirasikan Kerajaan Negeri Sembilan adalah rancangan komprehensif jangka masa panjang yang melibatkan Daerah Seremban dan Port Dickson. MVV adalah kesinambungan kepada Greater KL dan akan menjadi pemangkin Negeri Sembilan dan merupakan salah satu Agenda Transformasi Negara yang menggunapakai pendekatan ‘public-private partnership’.


MVV perlu menggekalkan identitinya yang aman, selesa, sejahtera dan hubungan sosial erat. Pusat Bandar Seremban terus berfungsi sebagai pusat pentadbiran negeri. Port Dickson hingga ke Tanjung Tuan akan difokuskan dengan aktiviti persisiran pantai. Selain itu, pelancongan berasaskan sukan dan kesihatan tahap antarabangsa juga diperkukuhkan.
Sebagai sebahagian daripada pembangunan MVV, reka bentuk bandar dan kawasan persisiran pantai Port Dickson akan dinaik taraf bagi memastikan kelestarian pembangunan Port Dickson.

Konsep Pembangunan Agropolis

Agropolis adalah satu konsep pembangunan yang menerapkan elemen perbandaran ke sebuah petempatan desa dan dibangnkan sebagai bandar pertanian. Agropolis juga sebuah kawasan pengeluaran pertanian yang menggunakan teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman dan boleh dibangunkan di kawasan yang mempunyai keluasan terhad.



Bagi Negeri Sembilan ini, konsep Agropolis ini digunakan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat. Berdasarkan kelebihan dan kekuatan sedia ada, Daerah Jempol, Tampin, Rembau dan Kuala Pilah berpotensi untuk dibangunkan menjadi satu wilayah bandar pertanian yang dikenali sebagai Agropolis yang mampan, maju, berkualiti dan peroduktiviti tinggi serta sejahtera didiami. Pembangunan Agropolis ini terdiri daripada 30 peratus perbandaran dan selebihnya pertanian, HSK dan badan air.

Konsep Pembangunan Biodiversiti

Kawasan pembangunan Biodiversiti melibatkan Daerah Jelebu memainkan peranan penting sebagai elemen kestabilan Biodiversiti di Negeri Sembilan dan juga sebagai sumber air utama negeri. Matlamat pembangunan Biodiversiti ini adalah pembangunan dan pemeliharaan sumber semula jadi secara mampan. Pembangunan Biodiversiti Negeri Sembilan ini bertujuan memperkukuh,an kedudukan kawasan HSK melalui pemeliharaan kawasan hutan dan penanaman semula pokok di kawasan hutan yang telah diterokai. 


Pembangunan Biodiversiti terdiri daripada 20 peratus tepu bina atau perbandaran, 30 peratus pertanian dan 50 peratus HSK dan badan air.

Menurut Menteri Besar, hasil daripada pembangunan MVV akan dicarumkan ke dalam akaun pembangunan untuk membangunkan infrastruktur di luar bandar supaya penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan-kemudahan asas termasuk pengangkutan.
Ia turut mengambil kira kawasan strategik pelaburan, hierarki penempatan Negeri Sembilan, sistem perhubungan dan pengangkutan, pembangunan pelancongan, kawasan pembangunan terkawal, kawasan pengekalan serta pemeliharaan.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad berkata, Dasar Pembangunan 30 Tahun Negeri Sembilan yang dilancarkan tahun lalu telah dipasak dengan Dasar Pembangunan Negeri Sembilan (DPNS) dan pada penghujung tahun hadapan akan dipasak pula dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) supaya ia kukuh dan tidak bergoyang.

“Draf pembangunan ini adalah ‘tiang seri’nya. Ia didokong dengan satu dasar iaitu Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) yang menjadi dasar Kerajaan Negeri. Biar apa dasarpun dibuat ia tetap berteraskan falsafah utama, ‘Membangunkan Negeri, 
Mensejahterakan Rakyat’.

Beliau mahu supaya rakyat Negeri Sembilan fokus kepada pembangunan 30 tahun. Rancangan ini adalah suatu cita-cita yang sangat tinggi untuk mengubah Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri moden dan membangun tanpa melupakan masyarakat  yang akan bersama-sama menikmati erti pembangunan.


Share on Google Plus

About Negeri Sembilan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment