Oleh SALAWATI HARIS
DAPATKAH anda bayangkan sebuah kereta api canggih meluncur dengan kelajuan melebihi 300km sejam di negara ini?
Transformasi pengangkutan
berteknologi tinggi ini akan menjadi kenyataan 10 tahun lagi apabila Malaysia
dan Singapura menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Projek Kereta Api
Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 19 Julai
lalu.
Negeri Sembilan turut terlibat
dengan fasa pembangunan jaringan pengangkutan dalam rancangan pembinaan Projek HSR
dari Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan menelan perbelanjaan antara
RM50-RM60 bilion apabila sebuah stesen henti HSR turut dibina di negeri ini.
Menerusi Projek HSR, perjalanan
keretapi laju akan bermula dari Kuala Lumpur ke Jurong East, Singapura dengan
melibatkan enam stesen hentian iaitu Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar,
Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Keseluruhan landasan itu adalah
sepanjang 350km dengan 335km melibatkan Malaysia manakala 15km lagi di
Singapura, dengan dua trek laluan bertentangan.
Dengan adanya perkhidmatan HSR,
pelancong dari Singapura cuma mengambil masa kira-kira 60 minit untuk sampai ke
Negeri Sembilan dan sejam setengah ke Kuala Lumpur. Ia akan bertambah
rancak lagi dengan adanya rancangan menyambung semula perkhidmatan keretapi
dari Seremban ke Port Dickson.
Perjalanan keretapi sedia
ada antara kedua-dua negara ini (Singapura-Kuala Lumpur) pada jarak yang sama
mengambil masa hampir 11 jam manakala perjalanan darat melalui Projek Lebuhraya
Utara-Selatan adalah kira-kira lima jam.
Sistem jaringan pengangkutan
itu turut termasuk dalam Pelan Pembangunan 30 Tahun Negeri Sembilan 2015-2045
yang bakal menyaksikan pertumbuhan wilayah ekonomi
baharu, Malaysian Vision Valley (MVV) di barat Negeri Sembilan dan akan merubah
landskap negeri ini ke arah pemodenan yang terancang.
Menteri Besar Negeri Sembilan,
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan yakin dengan adanya rangkaian
pengangkutan awam yang canggih dan komprehensif seperti HSR, Perkhidmatan Tren
Elektrik (ETS) dan KTM Komuter di Negeri Sembilan, landskap sistem pembangunan
di negeri ini akan banyak berubah dan bakal menjadikan Negeri Sembilan sebagai
hub pengangkutan dan gugusan Lembah Klang (Greater Klang Valley) yang moden serta canggih.
Selain itu, sebagai pelengkap
kepada perkhidmatan pengangkutan, beliau turut berharap agar
perkhidmatan pengangkutan awam, pembinaan Sistem MRT yang sudah
sampai ke Kajang dapat disambungkan juga hingga ke Seremban.
Masa Depan Malaysia-Singapura
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula, projek tersebut mencerminkan masa depan kedua-dua negara menerusi kemakmuran dan gaya hidp baru yang dinikmati penduduk Malaysia dan Singapura.
Dalam masa perjalanan selama 90 minit, membolehkan seseorang bersarapan pagi di Malaysia, makan tengahari di Singapura dan makan malam di Kuala Lumpur. Ia bakal merubah masa depan.
Selain itu, HSR akan turut mengubah cara mengembara. Kita boleh datang ke Kuala Lumpur, lakukan perniagaan dan melakukan kerja dengan menggunakan komputer riba dalam keretapi semasa balik ke (Singapura).
Pemangkin Ekonomi
Projek HSR juga dilihat menjadi pemangkin ekonomi negara kerana pembangunan pengangkutan berorientasi yang mencampurkan kawasan perumahan dan komersil direka untuk memaksimumkan akses kepada pengangkutan awam akan dilaksanakan di sepanjang laluan HSR.
HSR secara langsung akan mengubah landskap pengangkutan dan akan membawa manfaat sosial dan pemangkin pertumbuhan ekonomi jangka panjang kepada kedua-dua negara.
Blogger Comment
Facebook Comment