IBU TUNGGAL bertangggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak. Jikalau ibu tunggal ini tiada pendapatan tetap, bagaimanakah pula mereka mahu menampung kebajikan anak-anak. Bantuan daripada agensi kerajaan yang diberikan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Sembilan, Dato’ Norhayati Omar, pelbagai program peningkatan ekonomi dan pendapatan melalui kursus dan kemahiran secara hands-on dilaksanakan oleh pelbagai agensi untuk golongan wanita termasuk ibu tunggal bagi membantu menambahkan pendapatan bulanan mereka.
Dari keseluruhan jumlah peserta ibu tunggal dalam program-program kemahiran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Sembilan, sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada 387 peserta ibu tunggal berjaya menambah pendapatan bulanan keluarga secara konsisten. Manakala selebihnya secara bermusim atau tidak lagi meneruskan perniagaan atas faktor usia, kesihatan atau ditanggung keluarga.
Para peserta dipantau sehingga ke suatu tahap mereka mampu untuk memperkembang perniagaan dan kemahiran mereka dengan mendapatkan bantuan geran atau pembiayaan untuk memperkembang perniagaan melalui MARA,TEKUN, SME Corp dan lain-lain.
Mereka ini seterusnya dipantau oleh agensi pembiaya di bawah program pembangunan usahawan masing-masing.
Program Peningkatan Pendapatan Ibu Tunggal
Di antara jabatan dan agensi terlibat adalah Pejabat Pembangunan Wanita Negeri, mini RTC, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Jabatan Perpaduan Negara, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di setiap Parlimen.Malahan melalui penubuhan persatuan wanita (PERWANI) di bawah JPW, pelbagai program telah dijalankan untuk disertai wanita termasuk ibu tunggal.
Program-program dilaksana agar kaum wanita termasuk ibu tunggal mendapat manfaat secara menyeluruh dan tidak perlu pergi jauh untuk mendapat maklumat serta mengikuti program kemahiran yang dijalankan kerana ia dilaksanakan di peringkat komuniti, daerah mahupun di kawasan parlimen masing-masing.
Antara program kemahiran bagi tujuan peningkatan pendapatan yang telah dilaksanakan pada tahun 2015 termasuklah:
i. Taklimat keusahawanan ‘Transformasi Minda Usahawan Wanita U-Boleh’.
ii. Program Pembangunan Pemasaran
iii. Program Latihan Keusahawanan.
iv. Kursus Pembuatan Kek dan Pastri.
v. Kursus Asuhan Kanak-Kanak.
vi. Kursus Kraf.
vii. Kursus Andaman dan Solekan.
viii. Kursus Masakan dll.
Program ProHome
Pada 2016, Jabatan Pembangunan Wanita berhasrat untuk melatih para wanita terutama golongan ibu tunggal agar menceburi bidang asuhan dan penjagaan rumah tanpa perlu terikat dengan satu-satu majikan seterusnya memberi kebebasan serta fleksibiliti memilih tugasan, masa dan lokasi kerja.
Inisiatif ini dinamakan Program ProHome dan masih dalam proses pembangunan modul serta prosedur operasinya.
Blogger Comment
Facebook Comment