KEMAKMURAN yang dikecapi daripada pencapaian ekonomi dan
kemasukan pelabur telah secara langsung menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
Keadaan ini membolehkan kerajaan menyalurkan kembali hasil
kemakmuran ekonomi negeri untuk digunakan bagi kesejahteraan rakyat.
Dasar Jaringan Keselamatan Sosial (DJKS) adalah dasar untuk
kesejahteraan rakyat yang telah diperkenalkan oleh Menteri Besar Negeri
Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan pada 2005. Ia bertujuan
untuk membantu golongan kurang bernasib baik bagi membolehkan mereka
bersama-sama menikmati faedah daripada pembangunan yang dilaksanakan oleh
kerajaan.
“Alhamdulillah, selepas 10 tahun dasar ini dilaksanakan,
masalah kemiskinan bagi golongan miskin dan miskin tegar telah berkurangan
dengan ketara. Masing-masing pada kadar 0.4 peratus dan 0.1 peratus pada akhir
tahun 2014," ujar Menteri Besar.
Pelaksanaan Dasar Jaringan Keselamatan Sosial
akan mewujudkan kesinambungan kepada usaha Negeri Sembilan menangani kemiskinan
tanpa keciciran kelompok tertentu. Dasar ini membolehkan semua kategori masyarakat menikmati
faedah pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan. Melaluinya juga, golongan kurang bernasib baik akan
sentiasa diberi perhatian demi memastikan mereka dapat meneruskan kelestarian
kehidupan.
Kelompok masyarakat dalam kategori miskin tegar, miskin dan
mudah miskin sering berdepan dengan pelbagai masalah asas seperti pemakanan,
perumahan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain yang menyebabkan mereka sukar
untuk keluar daripada putaran kemiskinan tanpa bantuan kerajaan.
Umumnya kelompok ini terbahagi kepada dua kategori iaitu
golongan yang tidak produktif dan golongan yang produktif. Golongan yang tidak produktif ialah warga emas dan orang
kurang upaya akan dibantu melalui aspek kewangan, makanan, penginapan dan
motivasi diri.
Manakala bagi golongan produktif, fokus adalah terarah kepada
program-program pendidikan, latihan kemahiran, pembiayaan kewangan, peralatan,
perumahan dan lain-lain.
Rakyat Negeri Sembilan seharusnya bersyukur kerana mempunyai pucuk pimpinan berjiwa rakyat yang begitu memberikan keutamaan terhadap kebajikan dan keperluan rakyat.
Negeri Sembilan ketika ini sudah menampakkan pelbagai hasil kejayaan dan kemajuan dalam pelbagai sudut dan semestinya ia bertitik tolak daripada pengurusan dan pentadbiran yang bijaksana.
Blogger Comment
Facebook Comment